Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Pertimbang data saintifik sebagai alternatif instrumen penguatkuasaan - Pakar

Kekangan kedaulatan negara menyebabkan negara jiran yang terkesan hanya mampu menjadi pemerhati pasif setiap kali episod kebakaran tanah gambut berulang. - Gambar fail/Bernama
Kekangan kedaulatan negara menyebabkan negara jiran yang terkesan hanya mampu menjadi pemerhati pasif setiap kali episod kebakaran tanah gambut berulang. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerangka diplomasi serantau yang disifatkan ‘tidak bertaring' dalam menangani krisis jerebu rentas sempadan menuntut ASEAN menggunakan data saintifik seperti cerapan satelit sebagai instrumen penguatkuasaan mandatori baharu.

Ketua Penolong Setiausaha GovTech Malaysia, Dr Jayaprakash Muralitharan berkata, Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) selama ini terperangkap dalam diplomasi ‘basa-basi’ yang sekadar mengeluarkan notis amaran tanpa tindakan tegas.

Menurutnya, kekangan kedaulatan negara menyebabkan negara jiran yang terkesan hanya mampu menjadi pemerhati pasif setiap kali episod kebakaran tanah gambut berulang.

“Dalam mesyuarat diplomatik, kita hanya bercakap apa yang kita ada, tetapi kita tidak boleh pergi lebih daripada itu. Saya tidak boleh masuk ke rumah anda dan arahkan padamkan api di dapur.

"Saya hanya boleh mengadu dapur anda mengeluarkan asap tebal. Selagi tiada perjanjian yang membenarkan tindakan tegas, kita hanya boleh terus mengadu,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru, di sini, pada Khamis.

Mengambil iktibar kejayaan dunia menangani krisis penipisan lapisan ozon menerusi Protokol Montreal pada era 1980-an, Jayaprakash menggesa ASEAN memanfaatkan klausa sains dan teknologi dalam AATHP.

Ini bagi merangka pelan pencegahan berasaskan data, seawal dua hingga lima tahun sebelum fenomena kemarau ekstrem melanda.

“Teknologi hari ini sangat canggih, orang bersembunyi dalam gua pun satelit boleh kesan. Sains sudah ada, kertas kajian melimpah ruah dan kitaran El Niño boleh diunjur.

"Kita tahu kawasan tanah gambut mana yang berisiko terbakar dalam tempoh empat ke lima tahun akan datang. Gunakan fakta sains ini untuk paksa syarikat perladangan melabur dalam pengurusan air dan hidrologi tanah sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal,” tegas beliau.

Hujah itu disokong Penyelidik Kanan Greenpeace Indonesia, Sapta Ananda Proklamasi, yang mendedahkan ketiadaan instrumen data untuk mengikat aspek perundangan menyebabkan konglomerat perladangan terus berselindung di sebalik pelbagai alasan.

“Syarikat perladangan sentiasa memberi alasan sama kononnya api bermula dari luar konsesi mereka. Namun secara saintifiknya, mereka membina terusan perparitan yang mengeringkan tanah gambut sehingga menjadi sangat mudah terbakar.

"Mereka memegang izin konsesi, maka mereka wajib bertanggungjawab tidak kira siapa yang memulakan api,” jelas Sapta.

Beliau turut menambah bahawa denda mahkamah sedia ada terlalu kecil dan gagal memberikan kesan signifikan kepada pesalah korporat yang membakar hutan.

Menjelang unjuran kitaran El Niño seterusnya, pakar sependapat ASEAN tidak lagi mempunyai masa untuk terus terperangkap dalam permainan menuding jari, kini tiba masa keberanian politik untuk menjadikan bukti sains sebagai asas tindakan perundangan.

Must Watch Video

Advertisement