Perbincangan mengenai pembangunan pendidikan Cina hendaklah diadakan bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sejurus selepas kepimpinan MCA baru dibentuk.

Menurut bekas Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Wee Ka Siong, sebagai sebuah parti komponen utama dalam BN , MCA hendaklah mengadakan perbincangan yang bersejarah , bervisi dan bermisi dengan pemimpin-pemimpin BN.

Beliau berkata semasa perbincangan tersebut, MCA, antara lain hendaklah mencadangkan kepada kerajaan agar memberi peruntukan sekurang-kurangnya RM200 juta kepada 1,295 buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina secara sistematik setiap tahun.

Selain itu, Wee mencadangkan supaya kerajaan turut menyediakan dana yang mencukupi supaya peruntukan kecemasan dapat disalurkan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina apabila diperlukan.

Bagi sekolah pelbagai aliran pula, Wee mencadangkan agar kerajaan bersedia untuk memberi bantuan apabila sekolah-sekolah berkenaan menghadapi kesusahan.

“Saya hendak menegaskan bahawa MCA bukanlah sebuah parti perkauman.

“Berteraskan kepada hak dan kebebasan demokratik yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, MCA bertanggungjawab membela pendidikan bahasa ibunda semua kaum, termasuk pendidikan Cina.
Saya tidak berharap bahawa setiap isu pendidikan perlu diselesaikan melalui desakan perhimpunan atau proses yang rumit melalui saluran dalaman.

“Saya percaya bahawa dengan adanya sistem berkenaan, isu-isu pendidikan Cina akan dapat diselesaikan secara berfokus,” katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-49 hari ini.

Wee menegaskan bahawa masa sudah tiba bagi kerajaan memberi pengiktirafan sepenuhnya kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau berkata perkara ini harus diaplikasikan terutamanya untuk dalam membenarkan universiti-universiti awam mengiktiraf sijil tersebut dan memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah menengah persendirian serta mengiktiraf sekolah-sekolah menengah persendirian sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

Beliau juga berharap sekolah menengah jenis kebangsaan tidak diabaikan dalam setiap bajet kerajaan.

Dalam pemilihan pemuda MCA yang diadakan hari ini, ketua biro pendidikan MCA, Chong Sin Woon, dipilih sebagai ketua pemuda MCA yang baru selepas memenangi pertandingan satu lawan satu menewaskan ketua pemuda bahagian Batu, Datuk Goh Gaik Meng.