Gerakan Media Marah (Geramm) hari ini mendesak agar Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dikaji semula untuk membolehkan golongan wartawan melaporkan kebenaran tanpa mendedahkan sumber.

Geramm dalam satu kenyataan pada Ahad menyatakan rasa terkejut dengan cadangan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mahu mengukuhkan lagi Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), yang disifatkan menyasarkan para pengamal media.

“Kami melihat perkara ini sebagai satu gangguan yang ketara daripada Peguam Negara. Mengancam wartawan yang hanya menjalankan tugas untuk melaporkan perkara penting demi kepentingan umum, adalah suatu yang tidak wajar,” kata Geramm.

Geramm menambah, amalan wartawan menggunakan maklumat dari sumber yang dilindungi tidak bermakna mahu mensabotaj kerajaan tetapi untuk menegakkan kebenaran.

“Ia adalah amalan yang berkuasa dan seimbang dalam demokrasi. Etika kewartawanan juga menyatakan bahawa sumber yang tidak didedahkan adalah dibenarkan asalkan fakta yang diperoleh adalah sah,” tambahnya.

Geramm juga menyebut mengenai kod etika Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) yang menggariskan bahawa ‘seseorang wartawan akan mematuhi kerahsiaan profesional mengenai sumber maklumat yang diperoleh dengan yakin’.

“Perkara ini pernah berlaku dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi pada tahun 2013, apabila Hakim Lau Bee Lan menolak permohonan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing yang mendesak seorang wartawan mendedahkan sumbernya dalam sebuah kes fitnah,” ujar Geramm.

Terdahulu, Mohamed Apandi dilaporkan berkata bahawa OSA yang digunakan ke atas wartawan yang menyembunyikan sumber sebagai melanggar etika kewartawanan, kerana wartawan itu boleh dianggap bersubahat dengan pihak yang mahu mensabotaj.

“Kita boleh mendakwa wartawan yang enggan mendedahkan sumber. Saya tidak berjenaka. Jika saya mempunyai 90 peratus bukti, saya akan mendakwa wartawan, pengarang, penolong pengarang dan ketua pengarang. Saya serius, bukan main-main. Kita ada terlalu banyak rahsia yang bocor di Malaysia,” kata Mohamed Apandi dipetik sebagai berkata.

Peguam Negara dilapor berkata demikian oleh sebuah portal berita yang memetik temu bual beliau dengan Sin Chew Daily, baru-baru ini.

Apandi juga menyebut mengenai usaha mengetatkan undang-undang OSA, termasuk cadangan hukuman penjara sepanjang hayat dan 10 sebatan.