Pentadbiran Rumah Putih Amerika Syarikat sedang memantau perkembangan yang berlaku berhubung insiden kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 dan Presiden Obama telahpun dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Presiden telah dimaklumkan mengenai pesawat 8501 AirAsia dan pegawai Rumah Putih akan terus memantau perkembangannya,” jurucakap Rumah Putih, Eric Schultz memaklumkan.

Pesawat AirAsia jenis Airbus A320-200 dengan nombor penerbangan QZ8501 adalah milik AirAsia Indonesia.

Membawa seramai 155 penumpang, ia sepatutnya berlepas dari Surabaya untuk menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Warganegara penumpang dan anak kapal adalah dari Singapura, Malaysia, Perancis, Korea Selatan dan Indonesia.

Kali akhir ia dikesan dalam saluran komunikasi dengan pihak kawalan lalu lintas udara (ATC) adalah ketika ia melintasi kawasan antara Tanjung Pandan, Pulau Belitung dan Pontianak di Kalimantan Barat.