MALAYSIA
Wisma Putra sokong penuh RM13, perkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global

Kementerian Luar turut bertekad dengan komitmen penuh bagi memastikan semua strategi dan pendekatan yang digariskan dalam dokumen RMK13 dapat dicapai. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Khamis sambil menzahirkan sokongan penuh terhadap pelaksanaan dan kejayaannya sebagai kerangka pembangunan utama negara di bawah Ekonomi MADANI.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan kesediaan untuk menerajui usaha mempertingkatkan kerjasama antarabangsa Malaysia melalui amalan diplomasi yang berkesan dalam menghadapi landskap geopolitik yang kompleks dan tidak menentu.
"Pendekatan ini bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global, malah berperanan penting dalam merangsang pertumbuhan jangka panjang dan menambah hasil negara melalui hubungan yang konstruktif dan bernilai tinggi dengan negara-negara luar," menurut Wisma Putra.
Kementerian Luar turut bertekad dengan komitmen penuh bagi memastikan semua strategi dan pendekatan yang digariskan dalam dokumen RMK13 dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang di samping terus mempergiat usaha di persada antarabangsa ke arah membina keyakinan masyarakat globalbagi memastikan Malaysia terus menjadi pemain utama dalam ekonomi global."Kementerian Luar melihat RMK13 sebagai wadah penting dalam memperkukuh daya saing negara serta menzahirkan iltizam Kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kemampanan pembangunan negara secara mampan dan inklusif," menurut Wisma Putra.
Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, kementerian turut komited untuk menjayakan usaha Malaysia bagi melahirkan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah sekali gus meningkatkan imej positif Malaysia di persada antarabangsa.
RMK13 merupakan pelan hala tuju komprehensif yang merangka pelan pembangunan lima tahun negara dari 2026 hingga 2030.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami