World #QuranConvention 2025: Umat Islam jangan hanya jadi pengguna, bangkit cipta solusi - Naim

Mohd Na’im berkata al-Quran bukan sekadar kitab untuk penghayatan spiritual, tetapi sebuah panduan komprehensif yang perlu diterjemah ke dalam setiap lembaran kehidupan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu melangkah keluar daripada kerangka pemikiran yang hanya menekankan aspek kerohanian, sebaliknya mengangkat peranan sebagai peneraju dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata al-Quran bukan sekadar kitab untuk penghayatan spiritual, tetapi sebuah panduan komprehensif yang perlu diterjemah ke dalam setiap lembaran kehidupan, antaranya ekonomi, pendidikan, kepimpinan dan pembangunan teknologi.
"Kita tidak mahu umat Islam sekadar pengguna, kita mahu menjadi pengeluar, pemikir, dan pencipta solusi. Ulama Sheikh Yusuf al-Qaradawi juga menyeru umat Islam kembali kepada budaya membaca, berfikir dan berijtihad.
"Kekuatan umat Islam tidak lahir daripada retorik, tetapi daripada keselarasan antara ilmu wahyu dan ilmu duniawi. Setiap ayat kalam suci yang dibaca dan dihafal mesti hidup dalam bentuk amal serta penyelesaian kepada cabaran masyarakat.
"Lebih daripada 70 ayat al-Quran menyeru manusia supaya berfikir, menandakan keperluan untuk membina masyarakat yang produktif, bukan pasif," ujar Mohd Na’im dalam ucapan majlis penutup Program World #QuranConvention, di sini, pada Ahad.
World #QuranConvention 2025 yang mengetengahkan Surah Al-Saff sebagai kerangka utama, turut menekankan keselarasan antara kata dan tindakan, serta keperluan membina saf yang tersusun dalam menangani cabaran ekonomi global dan jurang kepercayaan rakyat terhadap institusi.
Menerusi kempen #Saff12Movement, satu kerangka akan dibentuk untuk menyusun peranan ummah meliputi 12 sektor sosial dan ekonomi, dengan matlamat memastikan panduan al-Quran diterjemahkan kepada tindakan strategik dalam semua sektor industri, agensi kerajaan dan korporat.
"Dari wahyu lahirnya inovasi, masa hadapan ummah hanya dapat dibina jika spiritual dan duniawi bergerak seiring," ujar Mohd Na'im menutup bicara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


