KUALA LUMPUR: World #QuranHour yang bakal berlangsung pada 4 April ini (Khamis) memberi tumpuan kepada intipati surah al-Jumu'ah bagi memangkin perubahan positif serta transformasi masyarakat di peringkat global.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, antara mesej utama yang diberikan tumpuan adalah berkenaan tatakelola berintegriti dan bebas rasuah sesuai acuan wahyu dan ajaran Nabi Muhammad.

“Nabi mengingatkan untuk tilawah ayat-ayat Allah untuk menginsafi kalau kami rasa berkuasa, ketahuilah bahawa ada Yang Maha Berkuasa. Kalau orang agama rasa dirinya kudus kerana membawa lidah Tuhan, ketahuilah bahawa yang kudus hanya Yang Maha Suci.

“Kalau pegawai-pegawai kerajaan jangan sampai menyalahgunakan kuasa di meja perkhidmatan, atau ketika menguatkuasakan undang-undang atau meminta rasuah bawah meja. Ketahuilah bahawa ada Yang Maha Berkuasa.

“Nabi Muhammad hadir untuk mendidik secara berterusan selama 23 tahun. Akhirnya tumbuh tamadun yang meletakkan Tuhan di atas segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


World #QuranHour ambil pengajaran tatakelola acuan wahyu, ajaran Nabi Muhammad - WUIF

Terdahulu media melaporkan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke World #QuranHour 2024.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, baginda dijangka tiba jam 11.45 pagi.

Dijadual bermula pada 12 hingga 1 tengah hari, program World #QuranHour yang pertama kali diadakan di Masjid Negara sebagai lokasi perdana bakal menampilkan bacaan daripada qari, perkongsian tadabbur dan resolusi daripada Surah al-Jumu'ah yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian dan QuranHour.


Agenda AWANI: #QuranHour | Kesatuan dan transformasi sosial