Sejak berpuluh tahun lepas, Wall Street Journal (WSJ) tidak henti-henti menyerang dan cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan UMNO dan kini tokoh Amerika Syarikat (AS) sendiri mendedahkan bahawa WSJ menjual berita palsu, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Annuar berkata sejak sekian lama juga Malaysia menjadi mangsa berita palsu, pembohongan bermotif politik dan berita bersifat putar belit yang disiarkan WSJ.

"Akhbar propaganda Israel itu tidak putus-putus menjadikan kerajaan diterajui UMNO sebagai sasarannya. Akhbar itu mengutuk mereka kerana menyokong usaha memajukan orang Melayu dan kaum lain di negara ini.

"Ia mahu menjayakan agenda ekstremis sekularisnya terhadap Malaysia, dan secara terang-terangan mempamerkan sikap pilih kasihnya sejak sekurang-kurangnya 19 tahun lepas," kata beliau.

Annuar berkata WSJ juga adalah penyokong tegar perang Iraq yang dilancarkan secara haram serta memusnahkan negara itu dan Timur Tengah serta mengakibatkan beribu-ribu kematian dan 'bertanggungjawab secara langsung terhadap kebangkitan Daish'.

Annuar berkata, oleh itu, adalah malang apabila banyak pihak di seluruh dunia tidak menyedari niat sebenar WSJ, dan Malaysia tidak bersendirian dalam menyedari bahawa WSJ tidak boleh dipercayai kerana banyak rakyat AS sendiri tahu tentang perkara itu.

Menurut beliau, senator Demokrat Minnesota Al Franken menyifatkan WSJ "sengaja melakukan putar belit" serta menggelarkannya sebagai 'standard Wall Street Journal distortion' (putar belit standard Wall Street Journal).

"The Huffington Post pula menuduh WSJ menyiarkan perkara yang secara terang-terangan tidak tepat dan penuh dengan putar belit untuk menggalakkan peperangan dan sekatan... yang menyebabkan orang biasa mengalami kebuluran.

"The Centre for American Progress mendakwa WSJ sengaja melakukan putar belit kerana taksub dengan sesuatu ideologi. Kumpulan pemikir terkenal di dunia ini merujuk kepada ''Wall Street Journal yang suatu ketika dulu cukup dihormati'' sebagai pihak yang sengaja menganjurkankan "penyebaran maklumat tidak benar''," katanya.

Majalah Salon pula menuduh WSJ cuba memburuk-burukkan serta mengetepikan sesiapa sahaja yang mereka tidak mampu kuasai.

Sementara itu, pengasas dana lindung nilai berpusat di Westport, Bridgewater Associates, Ray Dalio, menyifatkan laporan WSJ sebagai penuh dengan putar belit yang disengajakan serta menjadi sebahagian daripada alat untuk menyebarkan berita palsu dan putar alam yang mengancam kesejahteraan masyarakat.

"Ciri sensasi dan komersial yang mengatasi ketepatan dan integriti kewartawanan menjadi objektif utamanya. Kebanyakan, walaupun mungkin bukan semua wartawan cuba menulis berita seperti yang mereka mahu dan mengubah suai fakta untuk menjadi pelengkapnya, bukan mengumpul fakta untuk menghidangkan laporan yang tepat seperti apa yang sebenarnya berlaku," kata Annuar.

Beliau berkata Dalio menuduh Bradley Hope, wartawan yang sering menulis tentang Malaysia untuk WSJ, mempunyai sejarah menulis cerita tidak benar serta bergantung pada mereka yang mempunyai rasa tidak puas hati sebagai sumbernya.

"Ini termasuk banyak orang yang tidak berpuas hati dan terdesak serta cuba menjatuhkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokrasi. Pemberita WSJ tidak akan menyampaikan sesuatu yang tidak bersesuaian dengan cerita yang ingin mereka tulis," katanya.

Mengulas esei tulisan Dalio mengenai WSJ, seorang ahli perniagaan AS menyifatkan akhbar itu sebagai "cuba menjadi lebih hebat daripada program realiti, bukan sebagai sebuah pertubuhan berita," kata Annuar.

"Sudah terlalu lama WSJ menjaja berita palsu tentang Malaysia, yang disogok kepada mereka oleh individu yang mementingkan diri sendiri serta gembira jika melihat negara mereka dimusnahkan sekiranya perbuatan itu memenuhi kepentingan politik peribadi mereka yang sungguh keji.

"Rakyat Malaysia patut mendengar suara rakyat Amerika yang tahu bahawa WSJ mengetepikan fakta dalam menjayakan agenda politik partisannya. WSJ sudah menjadi tidak lebih daripada alat propaganda dan sanggup memperhambakan dirinya kepada penentang politik kerajaan Malaysia," kata beliau.

-- BERNAMA