Cadangan DAP Sabah yang akan menubuhkan satu pakatan baharu pembangkang di negeri itu tanpa PAS bukan sahaja ganjil malah membuktikan lagi betapa tunggang langgangnya ikatan antara DAP, PAS dan PKR.

Malah apa yang cuba dilakukan DAP Sabah tidak lebih sekadar wayang politik kerana kehadiran PAS di negeri itu pun selamanya tidak ubah sekadar melukut di tepi gantang.

Namun hakikatnya bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, DAP adalah satu parti yang tidak pernah menghormati PAS sebagai rakan sekutu.

Ini juga jelas beliau menunjukkan selama mereka berpakat, setelah penyokong PAS di akar umbi bertungkus-lumus membantu dalam beberapa siri pilihan raya umum dan kecil, kini mereka mula melupakan PAS dan melihat PAS tidak lebih seperti kudis yang membawa penyakit.

"Ini sebenarnya isyarat yang cukup jelas kepada parti PAS, khususnya di Sabah, mereka ini dipergunakan bila perlu sahaja… bila tiba musim pilihan raya, dipergunakan sebagai ‘pemanis mulut’ memikat pengundi Islam sahaja.

"Tetapi sekarang, kita sendiri nampak apa yang berlaku, setelah mereka menang di beberapa kawasan, DAP mula menunjukkan wajah mereka yang sebenar. Sebelum ini sanggup tidur sebantal walaupun mimpi lain-lain. Sekarang? Bukan sahaja tidak sebantal tetapi sanggup tendang malah tikam Pas dari belakang.

"Sudah terang lagi bersuluh, dari dulu lagi DAP akan menggunakan sesetengah pemimpin Pas yang dilihat agak liberal untuk memenuhi agenda politik mereka sahaja,” katanya lagi.

Menurut Ahli Parlimen Papar itu lagi, itulah wajah sebenar pakatan pembangkang, yang hanya bersekutu demi kepentingan politik peribadi sendiri, bukan bersatu atas nama kepentingan rakyat.

"Ini terbukti dengan tindakan parti yang sering dilabelkan sebagai cauvanis itu mula membuat perancangan dalam menguasai politik Malaysia tanpa PAS.

"Berbeza dengan Barisan Nasional (BN), kita sentiasa mengutamakan kesepaduan dan kesepakatan di dalam mengurus tadbir gabungan hinggalah ke urusan mentadbir negeri dan negara demi kesejahteraan rakyat. Segala permasalahan yang timbul, diperbincangkan dengan sebaiknya.

"Tapi mereka? Ibarat bangkai gajah mana mungkin ditutup dengan sehelai daun, yang kini semakin retak menunggu masa untuk berderai sahaja,” ujarnya yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Kesan krisis pakatan semakin kemuncak apabila hari ini DAP Sarawak mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang dan beberapa DAPSY negeri juga telah menamatkan kerjasama dengan PAS.

Sebelum ini juga, Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din menjangkakan hubungan pakatan pembangkang bakal berkecai kerana tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dengan tuduhan tidak jujur dan tidak bermaruah adalah perbuatan yang melampau yang tidak patut dikeluarkan oleh rakan sekutu.