Selepas tiga bulan tiba di Malaysia, pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang buat julung kalinya menyambut hari lahir mereka yang ke-8 di Zoo Negara.

Keistimewaan sambutan kali ini orang ramai yang lahir pada tarikh sama 23 Ogos turut dipelawa menyambut hari jadi bersama-sama pasangan panda itu.

Bagi mereka yang lahir pada hari yang sama dapat masuk secara percuma untuk turut serta memeriahkan sambutan di Pusat Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara.

Di antara tarikan utama sempena sambutan hari jadi pasangan panda itu adalah kek hari jadi panda atau "ice-cake" khusus bagi pasangan panda itu.


Pembantu penyelia Pusat Konservasi Panda Gergasi, Akmal Hadi Samsuddin berkata mereka mendapatkan ilham pembuatan kek berkenaan hasil kajian dibuat daripada sambutan hari jadi panda yang diamalkan di zoo lain sebelum ini.

"Kalau hari jadi mesti ada kek hari jadi bukan? Jadi kek panda yang kita buat hari ini istimewa sebab diperbuat daripada buluh, kacang soya, jagung, beras, telur dan paling special sebab selalu kita bagi panda kek kecil kali ini besar dan dihiasi dengan sangat cantik," katanya.

Panda jantan Xing Xing kelihatan begitu seronok melihat kek hari jadinya lalu segera menghabiskannya manakala panda betina, Liang Liang lebih santai dan mengambil masanya untuk memakan kek khas yang diperbuat daripada pelbagai ramuan itu.

Apa yang nyata tidak kira sama ada tua atau muda pengalaman menyambut hari jadi bersama-sama panda pastinya suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Antara mereka, Edmund Lee dari Kuala Lumpur yang membuat keputusan membawa keluarganya melihat panda berkenaan pada hari jadinya yang ke-41 itu.

"Kebetulan hari jadi panda dan saya jatuh pada hari sama. Saya rasa gembira dan teruja lalu membawa anak-anak saya ke sini untuk menyambut hari jadi saya. Pastinya sambutan kali ini amat berbeza sekali." katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kompleks Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara.

Bagi Farisha Nor, 21 yang takut dengan haiwan, pengalaman berkongsi hari jadi bersama panda sesuatu yang tidak akan dilupakan.

"Saya fikir tidak ramai yang mungkin berkongsi hari lahir yang sama dengan panda ini jadi saya fikir mengapa tidak saya sambut bersama-sama Xing Xing dan Liang Liang. Apatah lagi saya jenis yang takut dengan haiwan sebenarnya, jadi ini pengalaman hari jadi yang akan saya ingat seumur hidup." kata Farisha.

Untuk Nurul Ifah Nabilah, 9 dia cukup gembira impian melihat haiwan unik itu secara dekat akhirnya tercapai.
"Saya rasa sangat seronok sebab hari ini hari jadi saya sama dengan panda" katanya.

Melihat sambutan begitu memberangsangkan daripada orang ramai, Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata sambutan hari jadi besar-besaran bersama pengunjung yang lahir pada tarikh sama pasangan panda itu akan dijadikan acara tahunan zoo negara.

"Hari jadi panda adalah untuk memberi kesedaran dan rapatkan orang ramai untuk kenali habitat panda dan sebagai promosi bagi meramaikan pengunjung ke Zoo Negara." kata Rosly.

Tambahnya sambutan seumpamanya itu juga akan dilanjutkan kepada lima haiwan lain berprofil tinggi seperti gajah, tapir, orang utan, beruang dan harimau Malaya.

Menariknya kedua Xing Xing dan Liang Liang dilahirkan pada tarikh yang sama iaitu 23 Ogos 2006 di Wolong, Si Chuan, China.

Kehadiran kedua-dua panda dari China itu merupakan simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China.

Menurut Rosly sejak kehadiran pasangan panda itu di Zoo Negara, kedatangan pengunjung ke zoo berkenaan telah meningkat sekali ganda kepada 50,000 orang.