KUALA LUMPUR: Malaysia berpendirian dan yakin bahawa Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) mampu membantu negara menjadi sebuah negara perdagangan utama di rantau ini, walaupun wujud dakwaan inisiatif tersebut akan gagal kerana mengasingkan China.

Sebagai sebuah negara perdagangan, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia tidak boleh bertindak bersendirian dan perlu menjalin hubungan ekonomi dengan pelbagai pihak termasuk China, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Justeru, selain IPEF, jelas beliau, Malaysia juga sedang melengkapkan proses ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif, bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

"Ini membuktikan komitmen Malaysia untuk bukan sahaja meneruskan, (tetapi) memperkukuhkan perdagangan dan pelaburan dengan negara China.

"Kedua, negara China juga telah mengemukakan permohonan untuk menyertai CPTPP yang Malaysia telah pun menandatangani pada 2018, dan sekarang dalam proses untuk meratifikasi perjanjian tersebut.

"Maka, ini satu platform baharu walaupun (IPEF) bukan satu perjanjian perdagangan bebas, tetapi satu instrumen yang boleh membantu Malaysia memperkukuhkan hubungan dengan AS dan negara Indo Pasifik," kata Mohamed Azmin pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang meminta penjelasan berhubung IPEF dituduh inisiatif yang mengasingkan China dan didakwa akan gagal kerana tidak memperkukuhkan hubungan perdagangan antara semua negara.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, ketika ini Malaysia tidak mempunyai struktur yang jelas dalam menjalinkan hubungan kerjasama dengan AS, menyebabkan negara berdepan isu Perintah Pelepasan Penahanan (WRO).

Keadaan itu, tambahnya, telah mengekang aktiviti eksport produk Malaysia ke AS.

"Saya percaya dengan instrumen yang baharu ini (IPEF), kita boleh menjamin kerjasama dan perbincangan dengan AS supaya mengurangkan kesan WRO dan juga isu-isu terkait dengan perkara tersebut," katanya.

Setakat ini, IPEF dianggota 14 negara termasuk Malaysia, Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Amerika Syarikat serta Vietnam.

Ia merupakan inisiatif ekonomi yang dilancarkan oleh Presiden AS, Joe Biden pada 23 Mei lalu.