KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (UMANY), Wong Yan Ke didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas didakwa membangkitkan kemarahan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) empat tahun lalu.

Yan Ke, 27, dikenakan hukuman itu selepas Majistret, Illi Marisqa Khalizan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pada 5 April 2022, mahkamah mengarahkan Yan Ke membela diri atas tindakan berkenaan selepas pihak pendakwaan didapati berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yan Ke.

Pada 26 Februari 2020, Yan Ke mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Fardiana Haryanti Ahmad Razali selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu sehingga mendatangkan kemarahan terhadap Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan tetamu pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM di sini jam 10 pagi pada 14 Oktober 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria manakala tertuduh diwakili Peguam, P Rajsurian dan Tan Wei Shin.

Terdahulu, Mohd Sophian mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM10,000 kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius serta ketika kejadian ia mendapat liputan luas.

Bagaimanapun, Rajsurian membantah cadangan itu kerana anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa selain dia merupakan seorang graduan kejuruteraan dari universiti terkemuka negara.

Pada 14 Oktober 2019, ketika istiadat konvokesyen itu, Yan Ke membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’ dan ‘Ini Tanah Malaysia’.

Ia dipercayai ditujukan kepada Dr Abdul Rahim yang menurut graduan itu telah menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) UM pada 6 Oktober lepas. - Sinar Harian