Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Istiadat sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir pada istiadat itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Keberangkatan tiba pasangan diraja di Dataran Merdeka tepat jam 9 pagi disambut dengan lagu Negaraku serentak dengan tembakan 21 das meriam.

Seri Paduka kemudiannya menaiki pentas khas bagi menerima tabik Hormat Diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Pada masa sama, lima helikopter milik ATM, iaitu tiga pesawat Nuri, satu Agusta, dan satu Fennec masing- masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Diraja Malaysia terbang di ruang udara Dataran Merdeka bagi upacara lintas hormat.

Yang di-Pertuan Agong kemudiaannya diiringi Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memeriksa perbarisan kawalan kehormat terdiri daripada 22 pegawai dan 540 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd Rosli Abu Bakar.

Selesai pemeriksaan barisan, Gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Leftenan Kolonel Muhammad Nor Azizan Yahya masuk membuka medan dengan alunan lagu-lagu patriotik.

Sejurus itu istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong menyusul dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan menandakan penghujung upacara.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Kolonel Haji Nawawi Daud dari Kor Agama ATM.

Tuanku Abdul Halim sekali lagi menerima tabik hormat daripada kawalan kehormat dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM sebelum berangkat meninggalkan majlis serentak dengan alunan lagu Negaraku sekali lagi.

Hadir sama ke istiadat itu ialah menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kanan daripada ketiga-tiga cabang ATM, diplomat asing, atase pertahanan beberapa Suruhanjaya Tinggi serta kedutaan di negara ini beserta orang ramai.

Istiadat Panji-panji merupakan suatu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen/Kor ATM sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang oleh perkhidmatan dan pasukan kepada negara.