Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan merasmikan pameran seni pelukis muda tanah air, Ken Yang bertajuk 'Paris-Kuala Lumpur' di sini malam tadi.

Pameran dengan usaha sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berlangsung di Balai Seni Visual Negara di sini, bermula 28 Okt dan akan berakhir 31 Jan tahun depan.

Turut hadir Panglima ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Penasihat Sosio-Budaya kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Dr Ong Hong Peng, Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Haned Masjak dan Duta Perancis ke Malaysia Martine Dorance.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam teks ucapannya pada majlis itu berkata hasil seni Ken Yang mempunyai gaya dan ilustrasi potret dan figuratif tersendiri.

"Idea pameran ini datang dari Tan Sri Rais Yatim yang berpeluang melihat persembahan pameran lukisan potret Ken Yang semasa menghadiri persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

"Beliau tertarik dengan sentuhan artistik pelukis yang berupaya menggarap keserasian gaya klasikal yang mempesonakan dan mempertemukan adunan rupa Eropah-Timur persis cantuman budaya di antara kedua-duanya," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Datuk Mahadzir Lokman.

Sementara itu, Ken Yang berkata kira-kira 35 karya beliau dipamerkan sepanjang 11 tahun beliau berada di Paris.

"Saya berpeluang berjumpa Seri Paduka sebanyak dua kali di istana dan baginda berkenan dengan hasil kerja saya, dan meminta saya melukis potret baginda bersama Raja Permaisuri.

"Lukisan baginda berdua merupakan potret yang paling sukar untuk dihasilkan kerana saya ingin menghasilkan lukisan yang 'perfect for them' (sempurna untuk baginda berdua)," katanya.

Antara karya seni beliau yang lain ialah potret Sultanah Pahang Hajjah Kalsom, Rais dan isteri Puan Seri Maznah Rais, Panglima ATM dan penyanyi terkenal negara Datuk Siti Nurhaliza yang diberi judul 'The Malaysian Mona Lisa'.

Selain karya seni, pemuda kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu turut mempamerkan koleksinya yang terdiri daripada pelbagai jenis perabot dan barang kemas antik buatan Eropah, barangan hiasan lelaki dan gambar-gambar Daguerreotype.