Skip to main content
Advertisement

Malaysia

YANIS lancar Galang Dana, sasar RM5 juta bagi pemerkasaan, manfaat komuniti OKU

SHAH ALAM, 13 Mac -- Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari ketika mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat Siri 1: Hamil Luar Nikah dan Anak Tak Sah Taraf: Penambahbaikan Prosedur, Tatacara dan Garis Panduan Mahkamah Syariah di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anfaal berkata dana yang dikumpul akan digunakan untuk membiayai dan memperluas program perdana YANIS iaitu Saringan YANIS, Pusat ANIS, ILSC dan IDP. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) melancarkan Galang Dana, sebuah kempen pengumpulan dana yang menyasarkan kutipan RM5 juta bagi memperkasakan kebajikan dan memberi manfaat kepada lebih ramai Orang Kurang Upaya (OKU) di Selangor.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata dana yang dikumpul akan digunakan untuk membiayai dan memperluas program perdana YANIS iaitu Saringan YANIS, Pusat ANIS, Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILSC) dan Program Pembangunan Inklusif (IDP).

Beliau berkata Unit Jagaan Palsi Serebrum (CPCU) dan Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) jiga akan diperluas di samping memulakan program baharu yang sesuai. 

“Pada 2025, YANIS telah membelanjakan RM2,787,967 bagi memberikan manfaat kepada lebih 3,000 individu melalui pelbagai programnya. Antara perbelanjaan tertinggi adalah bantuan sekali beri untuk pemberi jagaan kanak-kanak berkeperluan khas, aktiviti advokasi, dan program pembelajaran di bawah IDP.

“Melalui kempen ini, YANIS berhasrat untuk memperluas jangkauannya secara ketara dan meningkatkan bilangan penerima manfaat demi mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dengan setiap individu mendapat peluang untuk terus maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kempen berkenaan diumumkan secara rasmi semasa Majlis Makan Malam Gala YANIS 2026 semalam,

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Penaung Diraja YANIS berkenaan melancarkan kempen itu.

Anfaal yang juga Pengerusi YANIS berkata yayasan itu menjangkakan sumbangan daripada pelbagai organisasi serta individu sama ada melalui sumbangan kewangan atau kolaborasi strategik bagi mencipta impak jangka panjang untuk komuniti OKU.

“Pada masa ini, agensi kerajaan memberi lebih tumpuan kepada pembentukan dasar secara makro dan bantuan tunai namun, YANIS mempunyai kelebihan kerana berada di luar struktur tradisional kerajaan, sekali gus lebih tangkas untuk membangunkan serta mengguna pakai model perniagaan yang lebih selari dengan corak pemikiran sektor swasta semasa dan di masa hadapan.

“Ini dapat membantu kami memenuhi keperluan perniagaan unik dan kapasiti sumbangan setiap rakan kongsi strategik. Di samping itu, jalinan perkongsian dengan YANIS juga bermaksud menyokong secara langsung visi diraja Tengku Permaisuri Selangor serta dasar negeri yang berusaha menterjemahkan visi ini menjadi kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YANISA Ar. Kamarul Hisham Yeop Hashim berkata matlamat dan misi YANIS selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

“bntuk mengetahui lebih lanjut, individu atau organisasi yang berminat boleh menghubungi Sekretariat Kempen Pengumpulan Dana YANIS 2026 bagi memahami Pakej Perkongsian Strategik Korporat, serta membincangkan potensi cara untuk menyumbang.

“… sama ada secara kewangan atau melalui kolaborasi Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) dalam bidang pemerkasaan OKU, pembangunan kemahiran, pekerjaan inklusif, dan impak sosial yang mampan,” katanya. 

YANIS turut dijangka mendapat pengiktirafan sebagai perusahaan sosial serta memperoleh status pengecualian cukai pada 2027.

Sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG), akaun kewangan YANIS boleh diakses di portal Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), yang secara positifnya menambah ketelusan kepada pemegang taruh dan orang awam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement