KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret dan Sesyen Petaling Jaya hari ini menetapkan 22 Jun depan untuk tarikh sebutan kes melibatkan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, 47.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Hakim Jamaludin Man membuat keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim dan Maryam Jamilah Ab Manaff memohon tarikh sebutan kes untuk penyerahan laporan kimia berhubung kes berkenaan.

Sementara itu peguam Yasin, Ariff Azami Hussein memaklumkan anak guamnya mula mendapatkan rawatan penyakit bipolar buat pertama kali di Hospital Sungai Buloh pada Selasa.

Ariff Azami juga berkata, Yasin akan mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh enam minggu ini di hospital sama.

"Ada dua perkara ingin dimaklumkan, pertamanya kami ingin memberi perkembangan pada pagi ini mengenai proses rawatan diuruskan pihak penjara dan semalam OKT (Orang Kena Tuduh) itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Walaupun agak lewat (Yasin dibawa untuk rawatan), kami ucap terima kasih kepada mahkamah dan penjara kerana memungkinkan rawatan itu.

"Yang kedua, laporan kimia tak siap lagi, (namun) kami harap tarikh sebutan kes tak lama, sebulan (daripada hari ini)," katanya kepada media pada Rabu.

BACA: Hadir sebutan kes Yasin, Syed Saddiq cadang pada kerajaan iktiraf kanabis sebagai penawar

BACA: 'Tuhan lepaskan aku dari rantai ini..' - Yasin tulis lagu di Penjara Sungai Buloh

BACA: Penyanyi nasyid Yasin berdepan hukuman mati, mengaku tidak bersalah miliki, tanam ganja

Yasin didakwa di Mahkamah Majistret pada 31 Mac lalu atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di kediamannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Suria Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Salah Guna Dadah | Yasin perlu rawatan pakar psikiatri segera - Peguam


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Yasin turut dilaporkan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, bagi satu lagi pertuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.