Yayasan Anti Rasuah Malaysia akan mengadakan persidangan antarabangsa bertemakan 'Meletakkan Etika Kerja Dalam Perniagaan dan Kerajaan' di Hotel Pullman, Bangsar pada Khamis depan (10 Dis).

Presidennya, Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata persidangan terbesar yang pertama kali diadakan sejak yayasan itu ditubuhkan setahun lalu, bertepatan dengan Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disambut pada 9 Dis setiap tahun.

"Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada isu semasa yang sangat penting kepada rakyat Malaysia amnya," katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dijadual menyampaikan titah khas pada persidangan itu.

Tunku Abdul Aziz berkata persidangan itu akan menghimpunkan ahli akademik, penuntut, golongan profesional, eksekutif perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan, pengamal media dan kakitangan awam.

Katanya antara penceramah pada persidangan itu ialah bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar yang akan membincangkan topik 'Polis, Rakyat dan Kedaulatan Undang-undang', bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Param Cumaraswamy (Peranan Badan Kehakiman dalam Demokrasi) dan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah (Sistem-sistem Jenayah: Akan adakah Keadilan Tanpa Etika dan Hati Nurani?).

Yayasan Anti Rasuah Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berorientasikan keuntungan, mempromosikan integriti dan standard etika yang tinggi dalam kehidupan.