KUALA LUMPUR: Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama bagi merancang beberapa aktiviti berbentuk penulisan membabitkan golongan belia bagi melahirkan lebih ramai penulis muda.

Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara Dr Hasan Hamzah berkata perkara itu dibincangkan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika beliau menerima Anugerah Khas Industri: Kepimpinan Belia Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara bersempena Anugerah Buku Negara 2023 semalam.

Beliau berkata aktiviti berbentuk penulisan itu dilihat sebagai antara cara untuk membantu mengatasi masalah penggangguran dalam kalangan siswazah.

"Takkan setelah pandai masuk universiti mereka tidak boleh mengarang buku, malah kini kita ada platform baharu ebook iaitu pasaran yang boleh menjana bilion ringgit dalam industri kreatif.

"Maknanya penulisan novel akan diadaptasi menjadi filem dan drama, manakala non-fiction pula akan menjadi dokumentari...ini semua anjakan paradigma baharu susulan ledakan teknologi maklumat dengan adanya 5G dan aplikasi yang merancakkan lagi industri," katanya ketika ditemui pada majlis anugerah itu di sini.

Hasan juga berharap kerajaan dapat membawa perubahan baharu ini bagi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada industri kreatif melalui penulisan oleh golongan muda yang akan dibentuk daripada universiti lagi.

"Kementerian seperti KBS akan memfokus kepada penulisan sukan dan pelbagai lagi idea boleh dikembangkan dan kita juga mahu penulis muda ini dilahirkan menerusi program Rakan Muda," katanya.

Sementara itu, Hannah berkata program Rakan Muda mempunyai 10 gaya hidup dan dua daripadanya relevan dengan usaha yang telah dibincangkan bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara iaitu Rakan Ekspresi dan Rakan Mahir.

"Jadi tahun depan kita akan melihat aktiviti mana yang sesuai dan boleh diadakan bengkel bersama yayasan untuk memberikan latihan kepada orang muda yang mahu belajar menulis," katanya.

Terdahulu, Majlis Anugerah Buku Negara turut menyaksikan Peluncuran Kelab Penulis Sahabat Yayasan Pembangunan Buku Negara yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Tan Sri Prof Abdul Latiff Abu Bakar.

Sebanyak 46 penerima hadir bagi menerima Anugerah Buku Negara 2023 Sesi 2, meliputi kategori Anugerah Pengajian Tinggi dan Anugerah Industri.

-- BERNAMA