KUALA LUMPUR : Yayasan Petronas memperuntukkan RM30 juta bagi menyediakan komputer riba dengan akses Internet kepada 12,000 pelajar di seluruh negara.

Inisiatif yang dijalankan menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) CERDIK itu adalah bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran secara dalam talian dari rumah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Nelly Francis Shariah, peranti itu akan disalurkan kepada 81 sekolah di 69 daerah di seluruh negara.

"Menerusi CERDIK, kita ingin menyediakan akses mudah terutamanya untuk pendidikan berkualiti buat pelajar, kerana ia adalah langkah pertama untuk merapatkan jurang digital, selain menambah baik pengalaman pendidikan dan kehidupan mereka.

"Dengan alatan dan perkhidmatan Internet ini, kami berharap lebih ramai pelajar terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dan daripada komuniti pedalaman akan dapat ikut serta dalam pembelajaran secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Ujarnya, peranti yang disediakan menerusi CERDIK adalah bagi menyokong keperluan pembelajaran pelajar untuk tempoh akademik tiga tahun.

Pada Ahad, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan disambung lagi untuk tempoh 25 hari apabila sesi persekolahan dibuka semula pada 13 Jun bagi kumpulan A dan Kumpulan B pada 14 Jun ini.

BACA: PdPR selama 25 hari bermula 13, 14 Jun - Radzi

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata ia akan berterusan hingga cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai ini.

Antara lain, Radzi turut memaklumkan ujian lisan dan amali sains Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan dilaksanakan pada Februari 2022 manakala ujian bertulis pula pada Mac 2022.