Yayasan Patriot Negara (YPN) nafi wujud sebarang penyelewengan dalam mendapatkan permohonan siri nombor plat eksklusif 'Patriot'.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan menegaskan bahawa YPN telah menghubungi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dua tahun lalu dan bukannya hanya baru-baru ini.

"YPN telah membayar RM1 juta premium untuk memenuhi syarat mendapat nombor plat khas baharu ini," jelasnya.

Beliau melahirkan rasa kesal apabila sesetengah pihak mendakwa terdapat penyelewengan sedangkan proses pembidaan secara jelas tertera dalam laman rasmi mereka.

"Ada 26 Siri Khas Plat telah dikeluarkan. Kenapa tak tanya mereka? Pembidaan kita terbuka." ujar Nadzim lagi.

BACA: Lima buru nombor plat 'Patriot 1'

Pembelian set nombor pendaftaran ini berkonsepkan 'willing buyer, willing seller' atau atas kerelaan individu sendiri.

YPN menjangkakan dapat mengumpul dana sebanyak RM10 juta menerusi projek ini.

Sehubungan itu, dana terbabit akan digunakan untuk meneruskan inisiatif YPN dalam mempromosikan budaya patrotisme.

Bidaan tertinggi setakat ini ialah nombor plat PATRIOT 1 yang mencecah RM1.3 juta.