GEORGE TOWN: Pengerusi Eksekutif Syarikat Yusof Taiyoob Sdn Bhd, Datuk Seri Yusuf Taiyoob mendahului senarai 1,380 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Ahli perniagaan berjaya dan pembekal buah kurma itu akan menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil.

Seramai 21 individu bakal dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Awang Adek Hussin dan bekas Pakar Patalogi Hospital Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr. Bhunpinder Singh yang ketika ini merupakan pensyarah patalogi di sebuah kolej swasta di George Town.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Ir. Jaseni Maidinsa; Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha; Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman dan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Sr Rozali Mohamud turut tersenarai sebagai penerima DGPN.

Ahmad Fuzi juga telah memperkenankan untuk menganugerahkan pingat kepada seramai 135 penerima bagi Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) iaitu 18 penerima dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk membabitkan 117 individu.

Penerima DMPN antaranya Pengerusi Majlis Klan Cina Pulau Pinang Datuk Ang Cho Teing dan Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan) Ahmad Rizal Mohd Hanapiah; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr. Ma'arof Sudin; bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Norman Muhamad menerima DSPN.

Seorang pengamal media iaitu wartawan kanan yang bertugas di Malaysikini S.Arulldass turut tersenarai sebagai penerima pingat DSPN.

Terdahulu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang pada sidang akhbar berkata seramai 107 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (19); Pingat Kelakuan Terpuji (197); Pingat Jasa Kebaktian (333); Pingat Jasa Masyarakat (536) dan Pingat Bakti Setia (29).

Beliau berkata acara sambutan akan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan di Dataran Sri Pinang esok dan istiadat penganugerahan pula berlangsung selama empat hari di Dewan Sri Pinang bermula esok hingga Khamis ini.

"Istiadat pada kali ini juga menyaksikan jumlah penerima iaitu seramai 1,380 orang adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun sejak 2018 bagi Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA