Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini tepat jam 8.15 pagi bagi menghadapi beberapa pertuduhan.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas timbalan perdana menteri itu akan menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau ditahan SPRM pada Khamis berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.





Turut hadir pada pagi ini bagi memberi sokongan kepada beliau termasuk Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Suasana di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini. Astro AWANI / HILMI MALIK

Tidak ketinggalan, penyokong-penyokong UMNO yang berkumpul di perkarangan luar kompleks mahkamah sejak awal pagi sambil membawa sepanduk.

Pasukan keselamatan turut kelihatan bersiap sedia berkawal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Penyokong Ahmad Zahid kelihatan berkumpul di luar kompleks sejak pagi. Astro AWANI / HILMI MALIK

BACA: Penyokong Ahmad Zahid berkumpul di SPRM

BACA: 'You're still my president' - KJ doa kesejahteraan Zahid


Perbicaraan dijangka bermula jam 9 pagi.

Terdahulu, Ahmad Zahid meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, di mana beliau ditahan malam tadi, kira kira jam 7.36 pagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu telah enam kali dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes itu dengan kali terakhir memberi keterangan semalam.