MELAKA: Zakat Melaka menyasarkan kutipan zakat fitrah meningkat kepada RM5.8 juta tahun ini berbanding RM5.6 juta pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zuhri Iskandar A Rahman berkata jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun lepas juga meningkat kepada 673,673 orang berbanding 661,703 orang pada 2021.

"Pada tahun ini, Zakat Melaka melantik 1,010 amil fitrah di seluruh negeri untuk menjalankan kutipan zakat fitrah sepanjang Ramadan mengikut kariah masing-masing.

"Kadar zakat fitrah yang ditetapkan tahun ini ialah RM7, RM14 dan RM21 dengan pembayar zakat boleh melunaskan tanggungjawab mereka mengikut kadar kemampuan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas program Tautan Kasih Zakat Melaka di Semabok Perdana di sini semalam.

Beliau berkata umat Islam di Melaka juga boleh melakukan pembayaran zakat fitrah melalui amil yang ditempatkan di masjid dan surau, selain kaunter bayaran di pasar raya atau bazar Ramadan di negeri itu.

Zuhri Iskandar berkata Zakat Melaka juga menyediakan kemudahan pembayaran secara dalam talian iaitu menerusi Portal Zakat Melaka di www.izakat.com, Portal Melaka Pay di melakapay.melaka.gov.my atau muat turun aplikasi Melaka Pay, Kod QR Maybank Pusat Zakat Fitrah dan perbankan Internet Maybank2u.

Terdahulu, beliau berkata Zakat Melaka memperuntukkan RM150,000 bagi menyantuni 100 anak fakir miskin dan anak yatim di seluruh Melaka menerusi program Tautan Kasih dengan pemberian set kelengkapan baju dan duit raya sempena Syawal.

"Kita berterima kasih kepada pembayar zakat di negeri ini atas sumbangan zakat yang diberikan dan semoga dengan bantuan zakat itu dapat mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan khususnya asnaf di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA