PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan pada Isnin, dan kedua-dua pemimpin memperakui hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Singapura.

Ia merupakan pertemuan rasmi pertama Zambry dengan Balakrishnan sejak beliau dilantik sebagai Menteri Luar pada 2 Disember 2022.

Balakrishnan berada di Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari mulai Ahad (15 Januari) hingga Rabu (18 Januari).

Sebagai jiran rapat serta anggota ASEAN dan Asia Pasifik, Zamry berkata ketika mesyuarat itu mereka menekankan kepentingan untuk bekerjasama bagi mengukuhkan kerjasama dua hala dan meneroka kolaborasi menang-menang, termasuk dalam menyelesaikan isu-isu tertunggak.

"Kami turut komited untuk meneruskan penglibatan positif melalui mekanisme dua hala sedia ada dan menekankan penyelesaian isu secara harmoni dan mencari penyelesaian terbaik bagi memelihara hubungan baik Malaysia-Singapura," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Zambry berkata mereka juga berbincang bagaimana kedua-dua negara boleh memacu hubungan sedia ada ke peringkat yang lebih tinggi

"Dalam hal ini, kami telah menyentuh mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura yang dijadualkan pada akhir bulan ini, serta cadangan lawatan negara oleh Presiden Halimah Yacob ke Malaysia pada Mac," katanya.

Zambry berkata pertemuan itu mencerminkan hubungan yang telah lama terjalin serta usaha-usaha berterusan bagi mengukuhkan hubungan rapat sedia ada antara Malaysia dan Singapura, di bawah Kerajaan Perpaduan yang baharu.

-- BERNAMA