Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti negeri perlu mencapai kata sepakat dalam isu hukum wanita hamil menggugurkan janinnya yang belum berusia 120 hari sekiranya dijangkiti virus Zika.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam perkara ini sangat mustahak kerana ia dapat membantu pihak profesional memberi nasihat kepada pesakit, dengan mengambil kira pandangan agama.

Dr Subramaniam mengulas pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berkata, wanita Islam boleh menggugurkan kandungan jika dijangkiti virus Zika, berkata, setakat ini, pengguguran yang dibenarkan di negara kita adalah ‘pengguguran terapeutik’ yang dilakukan hanya sekiranya nyawa ibu mengandung terancam.

“Jika Mufti Wilayah Persekutuan, berkata demikian, ia harus diterima oleh Mufti yang lain. Ini sangat mustahak kerana kita pun akan dibantu melalui satu pendirian agama yang jelas dalam perkara ini. Ia juga akan membantu pihak profesional.

“Kalau semua mufti boleh kongsi pandangan sama dan untuk kita memberi nasihat kepada pesakit dalam keadaan itu senang. Perkara ini, melibatkan dua-dua pihak. Bukan sahaja profesional tetapi juga pandangan agama.

“Contoh di Singapura, ia dibenarkan, jadi untuk mereka senang. Dalam sistem perundangan di Singapura, mereka membenarkan perkara itu, jadi untuk mereka menasihat, senang. Walaupun saya menerima secara baik pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, tetapi ini mesti menerima persetujuan oleh pihak agama yang lain supaya mereka berbulat suara dalam perkara ini.”

Katanya, perkara itu akan membantu pihak kementerian menggubal dan mengeluarkan panduan yang lebih sesuai yang boleh diberi secara umum kepada semua orang.

Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan orang Islam boleh menggugurkan kandungan dengan syarat janin belum mencapai usia 120 hari (tiga bulan) serta mendapat persetujuan ibu bapa selepas diberi kefahaman mengenai kesan virus berkenaan.