GEORGE TOWN: Pakar Perunding Kanan Kanak-Kanak dan Genetik Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr. Zilfalil Alwi dilantik menganggotai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Technical Advisory Group on Genomics (TAG-G).

USM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan pelantikan selama dua tahun yang berkuat kuasa 24 Ogos lepas, merupakan pengiktirafan terbesar kepada negara kerana beliau satu-satunya wakil Malaysia daripada 15 orang yang dilantik dalam kumpulan penasihat kepada WHO dalam bidang genomik.

Zilfalil berkata keanggotaan itu memberi impak yang signifikan kerana negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC) akan mendapat akses kepada kepakaran dan pengetahuan terkini dalam bidang genomik.

"Ia sekali gus membolehkan negara-negara LMIC meningkatkan keupayaan dalam bidang penyelidikan dan perubatan berdasarkan genom serta membuka peluang untuk mengenal pasti faktor risiko genetik bagi penyakit tertentu dan mewujudkan rawatan yang lebih personalisasi dan berkesan," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata beberapa peranan lain juga perlu dimainkan sebagai anggota kumpulan berkenaan dan ia berkisar kepada pembangunan bidang genomik.

"Dalam kapasiti penasihat itu, kumpulan tersebut perlu menilai semula dan mencadangkan aktiviti-aktiviti keutamaan untuk dipertimbangkan oleh WHO bagi mempercepatkan akses kepada teknologi genomik bagi kesihatan global, termasuk promosi dan advokasi selain daripada aktiviti teknikal," katanya.

Menurut Zilfalil, kewujudan TAG-G akan memberikan pelbagai manfaat kepada masyarakat dan negara dengan menyokong WHO dalam mempercepatkan akses kepada teknologi genomik untuk kesihatan global, khususnya pada genom manusia melalui panduan teknikal dan sokongan.

"Ia akan melonjakkan lagi bidang genomik di seluruh dunia terutama dalam kalangan negara LMIC yang mempunyai jurang perbezaan sangat ketara berbanding dengan negara berpendapatan tinggi (HIC).

"Pendekatan yang diambil oleh TAG-G untuk menilai semula dan mencadangkan aktiviti-aktiviti keutamaan dalam melancarkan akses kepada teknologi genomik membolehkan Malaysia termasuk juga negara di seluruh dunia mengambil langkah-langkah strategik dalam memajukan sektor kesihatan," katanya.

Menurut Zilfalil, hal itu juga membantu Malaysia menghadapi cabaran kesihatan yang semakin rumit dengan pendekatan lebih holistik dan terkini, dengan memastikan penyediaan rawatan serta penjagaan kesihatan lebih cekap dan tepat sasaran.

"Kemajuan dalam bidang genomik dalam kesihatan akan membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan daya saing negara di peringkat global, dan seterusnya memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat sejagat," katanya.

WHO TAG-G merupakan Kumpulan Penasihat Teknikal dalam bidang genomik kepada WHO yang baharu serta kali pertama ditubuhkan, bertujuan menyokong dan menyediakan panduan teknikal terhadap aktiviti yang dilaksanakan oleh Sekretariat WHO.

Ia bagi melancarkan akses kepada teknologi genomik bagi manfaat kepada kesihatan global terutamanya dalam bidang genom manusia.

-- BERNAMA