PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Zolkopli Dahalan hari ini dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang turut dianggotai empat individu lain.

Seorang lagi anggota ialah bekas Ketua Pengerusi Lembaga Penasihat JPM Datuk Mohamad Jazamuddin Hail Ahmad Nawawi, selaku Timbalan Pengerusi IPCC.

Tiga ahli IPCC terdiri daripada bekas Pengarah Sektor Kewangan, Jabatan Audit Negara Puan Martina@Kartina Zamhari; bekas Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi), Jabatan Logistik dan Teknologi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Shukri Abdullah dan bekas Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Tan Kang Sai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengumumkan pelantikan itu berkata kesemua mereka telah menerima surat cara pelantikan yang diserahkannya di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata pelantikan ahli IPCC kali ini hanya melibatkan lima individu manakala dua lagi akan diumumkan selepas proses tertentu dilakukan.

"Prosesnya biasanya adalah kita melakukan 'head hunting' mengenal pasti kalangan individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan rekod tugas yang cemerlang dalam bidang masing-masing daripada pelbagai segmen perkhidmatan mereka.

"Walaupun slotnya tujuh, tetapi dengan lima sudah boleh kita mulakan. Maka kita luncurkan dan laksanakan. Dua slot lagi akan diisi kemudian," katanya.

IPCC dibangunkan sejak 2020, yang akhirnya membawa kepada penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 pada 1 Julai 2023.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata IPCC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas terhadap pasukan PDRM dari aspek siasatan aduan salah laku, melibatkan integriti pasukan yang merupakan nilai teras serta asas kepada tatakelola dan tadbir urus yang baik.

"Penubuhan IPCC merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan untuk menguruskan persepsi atau salah faham masyarakat umum terhadap integriti dan kredibiliti pasukan PDRM yang merupakan agensi yang banyak berjasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia terjaga rapi," katanya.

Beliau berkata antara peranan IPCC adalah menerima aduan salah laku anggota atau pegawai pasukan PDRM dan menyiasat aduan salah laku anggota atau pegawai pasukan PDRM yang diterima.

Ditanya mengenai rasional penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA), Saifuddin Nasution berkata penubuhan agensi tunggal itu akan memudahkan koordinasi, mempercepat sistem penyampaian dan meningkatkan elemen integriti pasukan keselamatan.

"Kementerian Dalam Negeri sebagai agensi peneraju. I (SBA) akan gabung agensi kawal selia lain. (Penubuhan SBA) adalah keputusan tepat untuk meningkatkan kecekapan kawalan di sempadan negara," katanya.

-- BERNAMA