Keperluan melaksanakan sistem pengesanan masa nyata pesawat dan berkongsi maklumat berhubung risiko penerbangan antara perkara akan dikemukakan Malaysia kepada Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang akan bermesyuarat di Kanada minggu depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan Penerbangan MH17, adalah jelas bahawa masyarakat antarabangsa harus bekerjasama rapat dan mengambil langkah lebih baik untuk meningkatkan keselamatan penerbangan awam.

"Malaysia berhasrat untuk mengemukakan pandangan dan input kepada Majlis ICAO dalam usaha untuk mencapai kesepakatan mengenai perkara ini," kata Liow yang kini dalam rangka lawatan ke Amerika Syarikat berhubung dengan kedua-dua insiden, dalam satu kenyataan hari ini.

Sesi ke-203 Majlis ICAO dijadual berlangsung di bandaraya Montreal di Kanada.

Sementara itu, Liow, yang mengadakan rundingan dengan Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Anthony Foxx di Washington DC pada Jumaat, berkata Malaysia menghargai sokongan diberikan kerajaan Amerika Syarikat selepas kedua-dua tragedi yang menimpa MAS.

Beliau berkata Malaysia juga menghargai sokongan Amerika Syarikat terhadap resolusi kepada Majlis ICAO mengenai Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai yang mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal pesawat.

"Secara khusus, resolusi ICAO menzahirkan sokongan padu tentang perlunya semua negara mematuhi undang-undang antarabangsa yang melarang tindakan keganasan yang mengancam keselamatan penerbangan awam antarabangsa," katanya.

Liow berkata, ia juga menekankan tentang pentingnya semua negara membantu kesinambungan dan memuktamadkan siasatan antarabangsa yang lengkap, menyeluruh dan bebas terhadap insiden itu.

Penerbangan MH370, membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac.

Operasi mencari pesawat Malaysia itu kini memasuki fasa laut dalam di Lautan Hindi susulan analisis bahawa penerbangan MH370 dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH17 pula ditembak jatuh di kawasan bergolak di timur Ukraine semasa dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam.