Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini menafikan dakwaan kononnya pihaknya telah mendedahkan maklumat peribadi berkaitan rancangan pengkebumian salah seorang mangsa nahas pesawat MH17 sehingga mengakibatkan berlaku insiden menumbuk anggota media semalam.

Dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI pada Rabu, MAS berkata maklumat mengenai majlis pengkebumian itu datangnya dari pihak ketiga yang dikatakan telah mendedahkannya kepada pihak media.

“Tidak ada pada mana-mana keadaan pun yang MAS akan mendedahkan maklumat khusus berhubung pergerakan jenazah atau saudara terdekat (mangsa nahas) serta perancangan pengkebumian kepada pihak media.

“Sebarang maklumat yang tersiar di media, atau diperolehi mereka tidak diberikan oleh kami (MAS) dan ia berkemungkinan diperolehi dari pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, meskipun MAS mempunyai kapasiti untuk menasihatkan pihak media untuk tidak mendedahkan sebarang butiran berhubung penumpang dan anak kapak pesawat MH17, tetapi adalah menjadi hak editor media terbabit untuk menyiarkan maklumat sedemikian.

Pihak MAS juga sentiasa menyakinkan ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH17 bahawa maklumat peribadi orang yang tersayang dilindungi, ia juga amat penting dan sentiasa dilindungi oleh MAS.

Semalam seorang jurugambar New Straits Times (NST) mendakwa telah diserang ketika membuat liputan satu majlis pengkebumian mangsa nahas pesawat MH17.

Seorang lelaki dipercayai anggota keluarga mendiang Paul Goes, isterinya Subashni Jretnam dan anak perempuannya Kaela Maya Jaya, secara tiba-tiba menyerang jurufoto dan jurugambar yang sedang membuat liputan di Taman Peringatan Nirvana, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Lelaki terbabit juga cuba menumbuk sebahagian dari anggota media yang hadir dan salah satu tumbukannya terkena jurufoto NST, Aizuddin Akmal Saad sehingga menyebabkan kecederaan di muka dan hidung.

Mohd Aizuddin kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi.

Semalam juga, seorang lelaki yang menamakan dirinya sebagai Logan Ratnam dan dipercayai anggota keluarga Shuba Jaya telah memuat naik kenyataan di laman Facebooknya mengatakan keluarga mangsa tidak dapat meratapi pemergian mangsa secara bersendirian.

Dia mendakwa pihak MAS telah mendedahkan maklumat peribadi meskipun telah dimaklumkan agar tidak melakukannya.

Tambahnya pihak pengurusan Nirvana juga telah gagal untuk menghalang media untuk memasuki kawasan terbabit meskipun telah diminta untuk menghormati privasi keluarga itu. Pihak media juga dikatakan telah bersikap kasar dan gagal menghormati permintaan terakhir anggota keluarga mendiang.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden terbabit dan tindakan akan diambil terhadap lelaki yang didakwa melakukan serangan.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pihak media untuk tidak memberikan tekanan kepada keluarga mangsa bagi mengelakkan masalah timbul.