Misi mencari pesawat penerbangan Malaysia MH370 akan diteruskan hari ini dengan bantuan 8 peswat tentera dan 11 kapal air.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) merancang pencarian visual di kawasan berukuran 57,311 kilometer persegi. Pusat kawasan carian terletak kira-kira 1,584 kilometer ke barat laut Perth.

Kenyataan yang dikeluarkan pihak Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) turut berkata cuaca di lokasi pencarian dijangka hujan dengan lautan berombak setinggi 2.5 meter dan jarak penglihatan sejauh 1 kilometer dalam keadaan ribut petir dan 3 kilometer dalam keadaan hujan.

“Dalam misi ke-13 semalam, Bluefin-21 diangkat kerana perisian perlu di-set semula (resetting). AUV mempunyai peralatan teknikal canggih dan set semula bukan sesuatu yang luar biasa. Semalam, juruteknik Phoenix dapat menyiapkannya dan misi ke-14 kini diteruskan.

“Bluefin-21 telah siap kira-kira 95 peratus daripada kawasan carian di dasar laut.

“Kawasan pencarian dasar laut diperkecilkan kepada 10km radius di sekitar isyarat kedua yang dikesan Towed Pinger Locator pada 8 April lalu.Jika tiada apa-apa ditemui, Bluefin-21 akan akan melakukan pencarian di kawasan bersebelahan radius berkenaan.

Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.

Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.

Selepas satu analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir MH370 ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan lautan Hindi".