Proses pemulihan dari situasi yang dipanggil isu reputasi pasaran dalam insiden kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia ini dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan.

Ketua Eksekutif Penerbangan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata kejadian yang berlaku ini telah menjejaskan situasi dan reputasi syarikat penerbangan berkenaan namun masih banyak urusan yang penting perlu dilakukan dalam memastikan krisis kehilangan pesawat tersebut berjaya menemui titik noktahnya.

“Kejadian yang berlaku ini sememangnya menjejaskan reputasi syarikat penerbangan ini namun sehingga kini siasatan masih lagi dijalankan dan banyak lagi urusan yang perlu diselesaikan terutamanya dalam situasi ini segalanya perlu diatur semula dan jika dilihat berdasarkan kepada pengalaman syarikat penerbangan dari negara lain, ianya memerlukan sehingga enam bulan untuk mereka kembali pulih semula daripada satu situasi yang dipanggil ‘market reputation issue’,” kata Ahmad Jauhari dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ahmad Jauhari menegaskan bahawa MAS sedang sedaya upaya untuk memulihkan semula keadaan syarikat itu secepat mungkin.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata Malaysia menghargai dengan kerjasama bantuan kepakaran yang ditawarkan oleh pihak Singapura.

“Dalam sidang bilateral antara Perdana Menteri Singapura dan Malaysia pagi ini, terdapat tawaran kerjasama kepakaran dari Singapura dalam membantu untuk mencari pesawat MH370 itu dan tawaran kepakaran ini adalah berdasarkan pengalaman mereka dalam mengendalikan proses pencarian dan siasatan keatas nahas Pesawat MI185 Silk Air milik negara itu pada 1997,” katanya.

Tambah Hishamuddin lagi, selaras dengan itu juga diharapkan akan ramai pihak tampil dalam membantu menyelesaikan krisis ini.

“Kita juga bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk melihat kaedah yang dilakukan oleh mereka ketika berdepan dengan insiden nahas pesawat Silk Air dan mereka tiada halangan untuk membantu terutamanya dalam mencari p[esawat tersebut,”.