Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar hari ini mengalu-alukan langkah kerajaan membenarkan parti politik membentangkan manifestonya selama 10 minit menerusi siaran RTM semasa kempen pilihan raya umum ke-13.

Walaubagaimanapun, beliau berpendapat kedua-dua belah pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang harus diberi masa ke udara yang sama bukan hanya menjelang pilihan raya sahaja tetapi sepanjang tahun.

"RTM1 dan RTM2 adalah penyiar awam. Badan itu bukan untuk pihak kerajaan sahaja," menurut Chandra sewaktu dihubungi Astro Awani.

Presiden Pergerakan Keadilan Dunia (JUST) itu berkata saluran tersebut kepunyaan masyarakat dan bukan kerajaan sahaja.

Beliau turut meminta kerajaan menubuhkan lebih banyak stesen penyiaran awam.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan Jumaat lalu parti-parti politik dibenarkan membentangkan manifesto mereka menerusi saluran RTM selepas parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau menjelaskan peluang tersebut diberikan kepada kedua-dua pihak sama ada di pihak Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang. Namun pembentangan tersebut akan dirakam sebelum disiarkan.