Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan parti Islam itu meletakkan calonnya bertanding di beberapa kerusi yang ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat kerana mahu mengelakkan calon PKR berpaling tadah dan lompat parti sekiranya menang nanti.

Abdul Hadi membayangkan calon PKR di tujuh kerusi yang turut ditandingi oleh Pas itu adalah mereka yang dikhuatiri latar belakangnya namun tidak menamakan siapa calon yang dipersoalkan kredibilitinya itu.

"PAS bertindak meletakkan calon di beberapa tempat kerana mahu menyelamatkan Pakatan Rakyat. Kita tidak mahu kerajaan kita jatuh seperti di Perak, memerintah sekejap," katanya dalam satu ceramah di Terengganu, malam tadi.

Jelas beliau, Pas bukannya menentang PKR tetapi "kalau ada calon yang kita khuatir, calon yang tangkap muat, yang boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan boleh berlaku, maka PAS mesti bertindak."



Selepas pilihan raya umum 2008, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tumbang selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dan seorang ADUN DAP mengisytiharkan diri sebagai calon bebas dan menyokong Barisan Nasional.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabtu lalu mengesahkan satu kerusi Parlimen iaitu Labuan dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri ditandingi antaranya oleh calon Pas dan PKR.

Di kerusi DUN Sungai Acheh, calon Pas Mohd Yusni Mat Piah bertanding melawan calon PKR, BAdrul Hisham Shaharin dan calon BN, Datuk Mahmud Zakaria.

Empat lagi kerusi yang bertindih itu ialah DUN Kota Damansara yang menyaksikan pertandingan enam penjuru dan tiga kerusi DUN di Terengganu iaitu Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir.

Pertindihan calon Pas dan PKR juga berlaku di kerusi DUN Panti dalam kawasan Parlimen Tenggara di Johor kerana calon PKR Mohd Annuar Mohd Salleh datang lambat ke pusat penamaan calon dan hanya menyerahkan borang pencalonannya selepas calon Pas, Azlisham Azahar berbuat demikian.

" Sampai sahaja masa dia tak hadir, kita perlu bersedia. Takut dia tidak hadir, Umno menang tanpa bertanding. Maka hak jual calon ini berlaku. Apabila PAS masuk, baru dia masuk juga. Begitulah ceritanya," kata Abdul Hadi.

Dalam ceramahnya, Abdul Hadi juga menyebut antara calon yang dikemukakan oleh PKR yang dipertikaikan oleh Pas termasuk seorang "tukang edar pil kuda" dan "calon yang menjulang gambar Stalin."

"Macam mana orang PAS nak sokong? Orang PAS kerjasama dengan PKR dan DAP. Kita tidak kerjasama dengan parti Stalin, parti Lenin. Gambar Karl Marx duduk dalam markas, hendak suruh orang PAS kerja. Macam mana nak suruh orang PAS kerja? Komunis diharam di Malaysia. Sebab itu menjadi pertindihan," katanya.

Abdul Hadi menjelaskan tindakan Pas meletakkan calon-calonnya di beberapa kerusi berkenaan adalah untuk memelihara keteguhan Pakatan Rakyat dan menegaskan Pas tetap bersama pakatan itu.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Pas ada caranya sendiri untuk menyelesaikan masalah pertindihan itu.

"Insya-Allah, kita akan selesai perkara ini dalam masa terdekat," katanya kepada wartawan di ibu pejabat Pas di sini, hari ini.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Ahmad Sabki Yusof dalam satu kenyataan ringkas Sabtu lalu meminta semua ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat bersabar sehingga keputusan dicapai oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS mengenai pertindihan itu hari ini.

Wartawan yang menunggu di ibu pejabat Pas bagaimanapun dimaklumkan mesyuarat berkenaan dibatalkan.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga calon PKR di tiga DUN di Terengganu yang bertindih dengan Pas mengumumkan akan menyokong calon Pas.

SPR pula menjelaskan calon yang mengubah fikiran untuk tidak bertanding dalam pilihan raya ini boleh memilih untuk berhenti berkempen tetapi nama mereka tetap kekal dalam kertas undi.

Timbalan Pengerusi PKR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, undi yang mereka terima pada hari pengundian 5 Mei ini akan tetap dikira.