Kerajaan akan memberi peruntukan khas kepada sekolah agama rakyat swasta sebagai mengiktiraf usaha berterusan institusi berkenaan menegakkan syiar Islam.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu akan diberikan kepada institusi yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mengikut kurikulum yang disediakan oleh kementerian.

"Sekolah ini boleh kita anggap sebagai sekolah agama swasta tetapi boleh mendapat bantuan daripada kerajaan pusat. Jadi, insya-Allah, ini akan kita laksanakan di seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai masjid dan surau, ahli jawatakuasa kariah serta pendakwah Wilayah Persekutuan di Masjid Usamah bin Zaid di Wangsa Maju.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pelbagai program untuk mempertahankan akidah umat Islam di negara ini dapat dilakukan kerana Malaysia mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Kerajaan juga mempunyai institusi yang memelihara agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama negeri manakala pendidik dan pendakwah serta kegiataan agama Islam diberikan sokongan dan pembiayaan.

"Untuk tegakkan syiar Islam, kerajaan telah membangunkan institusi seperti masjid, surau, lantik imam, ambil guru agama dan bagi latihan yang secukupnya kepada pendakwah," katanya.

Tambah Muhyiddin, UMNO sebagai parti orang Melayu dan Islam terbesar telah banyak memperjuangkan agama Islam yang menjadi teras perpaduan ummah.

Pada masa sama, Muhyiddin juga menegaskan golongan pendakwah turut mempunyai tugas dan peranan yang sama dengan kerajaan dalam menangkis fahaman songsang.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan Jawi sebanyak RM377,500 kepada 755 penerima terdiri daripada Imam Terbaik, Bilal Terbaik, Noja Terbaik, Masjid Terbaik, Surau Jumaat Terbaik Dan Surau Terbaik.