KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Jabatan Cyber Security Petronas mengesahkan seorang bekas pengurus di Petronas telah mendedahkan maklumat berkaitan perniagaan dan struktur kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) pada 8 Jun 2024.
Bekas Pengurus Kanan Perhubungan Perusahaan Petronas, Jumsuri Basri, 48, berkata semasa berada di Menara Berkembar Petronas pada 12.41 tengah hari, 6 Dis 2024, beliau telah dimaklumkan bahawa Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni telah membocorkan maklumat sulit tersebut.
"Saya mengetahui perkara ini selepas menerima panggilan daripada wakil Whistle Blowing Committee (WBC) pada 6 Dis 2024 yang memaklumkan mengenai kebocoran maklumat kepada PETROS. Wakil tersebut kemudiannya menghantar e-mel bersama laporan daripada pemberi maklumat (whistleblower) serta dokumen yang didakwa telah dibocorkan.
"Selepas menerima maklumat tersebut, saya telah memaklumkan kepada pihak Sumber Manusia, bahagian Kewangan Petronas dan Jabatan Cyber Security Petronas bagi tujuan pengesahan dan tindakan lanjut," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi operasi dan kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Petros.
Saksi pendakwaan pertama itu berkata hasil semakan mendapati pada 3.19 petang, 8 Jun 2024, Mohd Khairul Akmal telah menghantar satu dokumen sulit bertajuk โQ1 2024 Upstream Business Performanceโ melalui e-mel Petronas miliknya kepada alamat e-mel PETROS.
"Hasil semakan Cyber Security Petronas mengesahkan bahawa Mohd Khairul Akmal telah menghantar dokumen tersebut kepada PETROS pada 8 Jun 2024. Semakan juga mendapati beliau telah cuba menghantar e-mel tersebut pada 7.19 pagi, tetapi gagal kerana saiz fail terlalu besar.
"Dokumen 'Q1 2024 Upstream Business Performance' diklasifikasikan sebagai dokumen 'Internal' kerana setiap helaian dokumen itu ditandakan sebagai 'Internal' dan tidak boleh dikongsi tanpa kebenaran Ketua Jabatan Kewangan dan Risiko Petronas Carigali Sdn. Bhd, iaitu Cik Karima," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan.
Jumsuri berkata Mohd Khairul Akmal memegang jawatan sebagai Pengurus (Prestasi Unit Perniagaan) Petronas dan bertanggungjawab mengurus serta mengumpulkan laporan kewangan bagi perniagaan huluan (upstream) di dalam dan luar negara.
"Perbuatan tersebut telah mendedahkan maklumat berkaitan perniagaan dan struktur kewangan Petronas yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada syarikat serta memberikan kesan kepada kepentingan negara. Saya percaya dokumen berkenaan telah diamanahkan kepada beliau untuk dijaga kerahsiaannya," katanya.
Selain itu, Jumsuri berkata susulan kejadian terbabit, Mohd Khairul Akmal telah digantung kerja bermula dari 9 Dis 2024 hingga 8 Feb 2025 bagi membolehkan siasatan dalaman Petronas dijalankan.
Katanya, Petronas juga mempunyai Code of Conduct and Business Ethics (CoBE) yang menetapkan dasar disiplin dan tindakan terhadap mana-mana pekerja yang melakukan salah laku termasuk penyebaran maklumat sulit syarikat.
Jumsuri berkata beliau membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan kerana perkara itu melibatkan kepentingan Petronas sebagai sebuah syarikat milik kerajaan Malaysia.
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Louis Liaw Vern Xien, saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa beliau membuat laporan polis secara terburu-buru sedangkan siasatan masih belum diselesaikan.
Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa beliau telah menyebabkan Mohd Khairul Akmal dituduh secara salah di mahkamah.
Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat, iaitu satu dokumen bertajuk โQ1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financialโ kepada Petros, yang dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai setahun, manakala Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A(1), jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung esok.
-- BERNAMA