JOHOR BAHRU: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta, dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor itu berkata, keputusan berkenaan dibuat tanpa sebarang paksaan, sebaliknya atas pertimbangan peribadi serta tuntutan semasa, khususnya selepas mendengar suara akar umbi di kawasan berkenaan.
“Dengan penuh tawaduk dan rendah diri, saya mengumumkan keluar daripada UMNO bermula hari ini dan akan menyertai Bersatu di bawah Perikatan Nasional.
“Insya-Allah, saya juga akan bertanding semula mempertahankan kerusi N27 Layang-Layang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16,” katanya dalam satu sidang media Ibu Pejabat Bersatu Pagoh, pada Khamis.
Abd Mutalip yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Layang-Layang sejak 2013 sebelum kembali memenangi kerusi sama pada PRN 2022, turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO yang memberi ruang dan peluang sepanjang penglibatan beliau dalam parti itu.
Dalam masa sama, beliau tidak menafikan pada awalnya tidak berhasrat untuk bertanding semula, namun mengambil keputusan itu selepas menerima desakan daripada pengundi tempatan.
Menurut beliau, komposisi pengundi di kawasan tersebut yang majoritinya Melayu menjadi antara faktor penting yang sering dibangkitkan oleh pengundi.
“Saya pada mulanya memang tidak berhasrat untuk bertanding, namun ramai pengundi meminta saya untuk terus berkhidmat.
“Atas dasar tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan masyarakat setempat, saya bersedia untuk kembali bertanding mewakili mereka,” katanya.
BN Johor sebelum ini membuat keputusan mengejut pemerhati politik apabila menyerahkan kerusi DUN Layang-Layang kepada MCA bagi PRN kali ini.
Sebelum ini, kerusi berkenaan merupakan kubu tradisi UMNO dan disandang oleh Abd Mutalip sendiri.
BN mempertaruhkan Chua Jian Boon, yang juga merupakan pegawai khas kepada Menteri Besar Johor, sebagai calon di kerusi itu.
Langkah pengagihan semula kerusi ini dilihat sebagai strategi BN untuk menyusun semula kekuatan antara parti komponen, dengan Layang-Layang menjadi antara kerusi utama yang terlibat dalam pertukaran tersebut.
DUN Layang-Layang merupakan kerusi separa luar bandar dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 25,181 orang setakat Mei 2026, dengan komposisi etnik menunjukkan pengundi Melayu sebagai majoriti sekitar 55 peratus, diikuti Cina hampir 30 peratus dan India sekitar 13 peratus.
Selebihnya terdiri daripada lain-lain kaum, sekali gus menjadikan kerusi ini berkarakter campuran tetapi kekal berteraskan undi Melayu sebagai penentu utama.
Mengulas lanjut, Abd Mutalip menegaskan keputusannya meninggalkan UMNO bukan didorong rasa tidak puas hati, sebaliknya melihat parti sebagai platform untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita kekal berkawan, tiada permusuhan. Parti bagi saya hanyalah wadah untuk kita berkhidmat.
“Akhirnya, kita hanya berusaha, namun penentu sebenar adalah Allah SWT,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Abd Mutalip pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor bagi portfolio agama dari 2013 hingga 2018 dan merupakan antara figura politik berpengalaman di kawasan Layang-Layang dan Simpang Renggam.