Mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN bermula pukul 12 tengahari tadi sebaik selesai mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, PWTC.

Anggota MT UMNO yang ditemui selepas mesyuarat itu memberitahu Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan beberapa aspek penting gerak kerja parti tunjang utama BN itu dalam menempuh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Najib ingatkan kami tentang dua perkara. Pertama, elak sabotaj parti. Kedua, jangan berpuak-puak," kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam mesyuarat tertutup selama lebih satu jam itu, Najib antara lain mengingatkan kepimpinan UMNO setiap negeri agar bersatu dan menangani sebarang unsur sabotaj dalam kalangan ahli ketika bermulanya fasa kempen nanti.

Ia bagi mengelak berlakunya perpecahan yang boleh menjejaskan sokongan ke atas parti dalam pilihan raya nanti.

Beliau juga meminta semua ahli UMNO diingatkan supaya terus menjiwai falsafah permuafakatan yang menjadi tunjang kestabilan politik negara.

Mesyuarat berkenaan turut membincangan manifesto parti pemerintah yang bakal diumumkan Najib Sabtu ini.

Rata-rata anggota MT yang hadir mengakui, suntikan semangat oleh Najib nyata meningkatkan moral barisan kepimpinan untuk menempuh proses demokrasi yang dilihat sengit berbanding yang lepas.

"Semangat kita di tahap tertinggi. Kami bincang strategi kempen. Kali ini bukan PRU 2008; gelombangnya sudah tidak sama seperti dulu," kata ahli MT Datuk Idris Harun.

Malah pendekatan-pendekatan baru dalam strategi kempen juga memperlihatkan kelainan berbanding persiapan pada 2008.

UMNO selaku tonggak parti pemerintah sebelum ini telah memaklumkan senarai calon BN untuk 'medan tempur politik' PRU-13 akan diumumkan dalam tempoh 7-10 hari sebelum hari penamaan calon.

Buat masa ini, semua nama yang disenaraikan sedang melalui proses tapisan akhir.

Senarai berkenaan ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, Polis Diraja Malaysia PDRM dan Jabatan Insolvensi.

Ia sebagai langkah memastikan calon-calon berkenaan benar-benar bersih

Selain itu, calon-calon juga diwajibkan menghantar laporan perubatan.

Najib dijangka menyerahkan nama-nama calon yang sah dan layak untuk bertanding kepada setiap pengerusi BN negeri selepas selesai proses tapisan.

LAPORAN LANJUT MENYUSUL