Suasana di ruang letak kereta berhampiran pasar Seksyen 6 di sini malam tadi bertukar menjadi begitu emosi dengan semangat patriotik kira-kira 10,000 orang yang bersorak riang sebaik diumumkan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad tiba.

Laungan 'hidup Tun' dan 'We love You Tun' bergema tepat pukul 9.15 malam mengiringi Dr Mahathir, yang ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, melangkah menuju ke pentas utama program Amanat Negarawan Bersama Rakyat Shah Alam.

Hampir 15 minit masa diambil untuk membawa pasangan suami isteri kesayangan ramai itu meredah lautan manusia ke pentas utama untuk program anjuran Barisan Nasional (BN) Shah Alam, sambil diiringi lagu Sayangi Selangor, Yakini BN dan 1Malaysia.

"Sentuhan Tun M adalah magik kepada kami, saya memang nantikan kehadiran beliau kerana bagi saya beliau adalah pemimpin era saya, Tun M adalah hero saya," kata Omar Abdul Rahman, 36, yang menetap di Shah Alam sejak 1997 ketika ditemui Bernama.

Omar adalah antara hadirin pada program berkenaan yang majoritinya disertai golongan muda yang dilihat begitu dekat dengan Dr Mahathir.

Nisa Mokhtar, 32, dari Bukit Jelutong pula mengaku sebagai pengundi senyap dan pengundi atas pagar yang masih mencari 'kem' mana paling sesuai untuk disertai ketika tarikh pilihan raya umum ke-13 (PRU), yang hanya berbaki dua hari lagi.

"Saya sebagai anak Selangor dan membesar ketika Tun M menjadi Perdana Menteri, dan menganggap beliau antara pemimpin terbaik yang ada di Malaysia, jadi hari ini saya hadir kerana mahu mendengar sendiri kata-kata beliau," katanya.

Suri rumah sepenuh masa itu berkata beliau yakin dengan kehadiran Dr Mahathir pada program itu akan memberikan gambaran baharu kepada pengundi atas pagar di Shah Alam, khasnya untuk membuka mata dan minda.

"Secara peribadi saya sudah boleh pilih 'jersi' untuk disarungkan sempena pertarungan 5 Mei ini," katanya sambil menunjukkan kemeja T BN yang dipakainya sambil mengaku akan mengundi BN pada PRU13.

Azura Khalid, 29, anak jati Shah Alam, mengaku teruja dengan kehadiran perdana menteri keempat Malaysia itu malah setia menanti sehingga akhir ucapan amanat Dr Mahathir, sambil memangku bayinya.

"Saya agak keliru dengan pelbagai cerita yang timbul, terutama melalui media sosial, namun hari ini Tun M telah kejutkan saya dan saya bersedia untuk mengundi buat kali ketiga," katanya.

Azura juga memberi pengakuan akan memilih BN tanpa ragu-ragu lagi Ahad ini.

Turut serta pada program itu ialah calon BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam Datuk Zulkifli Noordin, calon BN bagi kerusi DUN Kota Anggerik Mohd Yusof Din dan calon BN bagi kerusi DUN Batu Tiga Datuk Ahmad Nawawi M Zin.

Malam tadi orang ramai 'melekat' di kerusi masing-masing, dan ada yang sanggup berdiri mendengar dengan teliti amanat Dr Mahathir yang mempunyai aura dan tarikan tersendiri walaupun usia beliau telah mencecah 87 tahun.

Dr Mahathir berkata: "Ada yang kata buat apa saya sibuk-sibuk kempen, saya bukan kempen, saya turun merata tempat untuk ucapkan terima kasih kepada anda-anda semua yang memberikan kepercayaan saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun".