Goncangan semula botol dakwat kekal setiap 2 jam akan sentiasa dipastikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kandungannya tidak mendap dan mengubah corak calitan pada jari pengundi.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata goncangan ini dibuat agar keseluruhan kandungan dakwat tersebut bercampur.

"Sebelum penutup dakwat itu dibuka, botol dakwat itu akan digoncang selama 30 saat dan ianya digoncang semula setiap dua jam selepas itu agar kandungannya tidak mendap," kata Kamaruddin kepada pemberita ketika demonstrasi dakwat kekal di Pejabat SPR disini.

Seandainya botol itu tidak digoncang, keseluruhan bahan-bahan dakwat itu hanya akan mendap di bahagian bawah dan meninggalkan kandungan air sahaja di bahagian atas.

"Ia menyebabkan dakwat itu menjadi mudah dicuci oleh pengundi," kata beliau.

Dakwat kekal PRU-13

Pada demonstrasi itu, beberapa petugas SPR dan pemberita yang sudah pun menjalankan undi pos telah sukarela menunjukkan bagaimana dakwat itu dicalit. Antara langkah-langkah tersebut ialah selepas botol dakwat kekal itu digoncang selama 30 saat, ianya akan dibuka dan jari telunjuk kiri pengundi akan dicalit.

Calitan tersebut merangkumi calitan pada keseluruhan ruas pertama hingga ke kuku dan diteruskan dibahagian bawah jari.

Demonstrasi dakwat kekal PRU-13

Dalam demonstrasi itu juga, petugas SPR telah menunjukkan proses tersebut kepada dua orang petugas media yang telah menjalani proses undi pos, Muhammad Shamsul Abd Ghani dari Sinar Harian dan Aizat Sharif dari Astro Awani dengan mencalitkan dakwat kekal di jari telunjuk kiri mereka.

Demonstrasi dakwat kekal PRU-13

Malah, turut ditunjukkan bagaimana dakwat tersebut tidak mampu dilunturkan atau ditanggalkan meskipun menggunakan sabun, cuka, cecair pencuci, iodin dan minyak berubat. Walaupun kemudiannya dibasuh dengan air, dakwat tersebut masih tetap kekal di jari dan dijangka akan hilang selewat-lewatnya tujuh hari selepas jari tersebut dicalit.

Demonstrasi dakwat kekal PRU-13

Sebelum demonstrasi itu dilakukan, SPR telah pun membuat beberapa ujian menggunakan dakwat kekal itu pada Selasa lau terhadap pegawai-pegawai SPR yang telah mengundi secara pos.

Hasilnya, SPR mendapati jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah dogoncang lebih kekal dakwatnya di jari berbanding dengan jari yang dicalit menggunakan dakwat yang sama namun botolnya tidak digoncang.

Dakwat kekal yang digunakan itu telah mematuhi kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Kimia dan kementeria Kesihatan malah, bahan yang digunakan untuk membuat dakwat tersebut adalah berasaskan herba dan tiada bahan kimia serta tidak memudaratkan kesihatan.