KLANG: 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor (Exco) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Isnin.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.

Daripada 10 Exco Kerajaan Negeri di bawah gabungan perpaduan itu, tiga Exco lama dikekalkan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han (DAP), Datuk Izham Hashim (Amanah-Pandan Indah) dan Borhan Aman Shah (Keadilan-Tanjong Sepat).

Manakala tujuh muka baharu ialah bekas Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), Datuk Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar), Mohd Najwan Halimi (Keadilan-Kota Anggerik).

Jamaliah Jamaluddin (DAP-Bandar Utama), V Papparaidu (DAP-Banting), Dr Mohammad Fahmi Ngah (Keadilan-Seri Setia) dan Anfaal Saari (Amanah-Taman Templer).

Kresdit #KitaSelangor

Istiadat angkat sumpah itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan pembesar-pembesar negeri.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, pelantikan Exco Kerajaan Negeri termaktub di bawah perenggan (b) Fasal (2) Perkara L111, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lepas.