Pas menegaskan sekiranya diberi mandat memerintah Malaysia, kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan disiasat menerusi penubuhan suruhanjaya siasatan diraja bagi mengetahui kedudukan sebenar.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Pas tidak mengambil sikap berkecuali dalam soal tersebut, sebaliknya tidak mahu membuat andaian tanpa bukti kukuh.

Katanya, dari dulu lagi, Pas mendesak supaya ditubuhkan satu suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat isu 1MDB seperti penubuhan suruhanjaya menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing di zaman bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Aapa yang saya dengar dalam soal jawab itu, kalau kita perintah, kita akan siasat semuanya. 1MDB, kes forex, kita akan siasat. Kita nak buat (sekarang) kita tak ada kuasa.

"Sebelum ada bukti yang jelas, boleh buat andaian. Ini isu besar, kalau tak ada bukti, bagaimana kita nak tuduh, ia jadi hanya satu tanggapan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menurutnya telah disalah ertikan berhubung isu 1MDB.

Pada Ahad, Abdul Hadi dilaporkan berkata, langkah Pas untuk tidak terus menghukum pihak yang dituduh terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB itu tidak bermaksud parti itu mempertahankan kejahatan.

Beliau berkata, langkah itu diambil kerana parti itu tidak mahu menjatuhkan hukuman sebelum ia terbukti benar-benar melakukan kesalahan.

Menurut Mohd Amar lagi, Pas tidak berpihak atau mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1MDB, sebaliknya sebarang tuduhan yang dibuat memerlukan bukti kukuh sebelum boleh dikaitkan dengan individu berkenaan.

Sementara itu, Pas berpandangan, Dr Mahathir sudah berada di had umur yang tidak sesuai untuk menjadi perdana menteri.

Mohd Amar berkata, pencapaian Dr Mahathir merosot semenjak beliau memecat bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

"Walaupun Dr Mahathir seorang yang cerdik, namun staminanya sudah menurun. Bahkan, selepas beliau memecat Anwar, bermulalah episod kemunduran Dr Mahathir, dengan pelbagai masalah.

"Sehingga masalah yang ditinggalkan itu kini ditanggung oleh UMNO dan Najib," katanya sambil menjelaskan Dr Mahathir yang sebenarnya meninggalkan political baggage atau beban politik.