Setelah berdepan kemelut dalaman parti yang berlarutan, MIC yang kini mantap dengan barisan pemimpin baharu berikrar akan menerajui transformasi masyarakat India dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Beberapa pemimpin tertinggi MIC yakin dan percaya pelan transformasi yang dilakar di bawah kepimpinan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam, yang menang tanpa bertanding pada 21 Ogos lepas, mampu mengembalikan keyakinan masyarakat India terhadap parti berkenaan supaya terus relevan.

Dr Subramaniam berkata parti itu telahpun menubuhkan Majlis Pembangunan Pendidikan Masyarakat India dan Majlis Pembangunan Ekonomi Masyarakat India bagi merealisasikan matlamat berkenaan.

"Banyak program akan dipergiatkan oleh kedua-dua jawatankuasa itu termasuk memperkasa ekonomi bagi usahawan kaum India, khususnya usahawan kecil dan sederhana (PKS) supaya dapat menjana pendapatan pada skala yang lebih besar," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S K Devamany memberitahu Bernama, parti yang berusia 69 tahun itu kini berada di landasan yang betul selepas mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran, termasuk mengharungi kes mahkamah berhubung isu pemilihan dalaman parti tahun lepas.

Beliau berkata dua jawatankuasa yang ditubuhkan bagi memperkasa bidang ekonomi dan pendidikan adalah hasil usaha barisan kepimpinan baharu dalam tempoh tujuh minggu selepas dipilih pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi MIC pada 6 Nov lepas.

"Kedua-dua jawatankuasa ini bukan sahaja terdiri daripada anggota MIC tetapi juga pakar dan individu yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial," katanya.

Devamany, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata MIC yang kini mempunyai imej dan nafas baharu semakin dahagakan transformasi, dan berikutan itu parti berkenaan harus bergerak pantas bagi memenuhi harapan masyarakat India.

Menyentuh mengenai krisis dalaman parti yang masih berlanjutan sehingga hari ini, Devamany mengakui ia merupakan asam garam dunia politik serta menegaskan konflik itu sama sekali tidak menghalang MIC untuk terus membela dan memperjuangkan kebajikan masyarakat India.

Bagi Naib Presiden MIC Datuk T Mohan pula, pemimpin parti itu akan kerap turun padang secara bersama bagi bertemu anggota parti serta masyarakat India bagi mendapat maklum balas mengenai masalah yang dihadapi.

Mohan berharap usaha itu dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat India dengan lebih pantas, serta membina kembali keyakinan masyarakat itu terhadap MIC.

Katanya masyarakat India mengharapkan penambahbaikan dari segi sosio ekonomi, sosial dan pendidikan.

Anggota MIC juga akan bekerja sebagai satu pasukan dan berusaha keras untuk mengembalikan keyakinan kaum India terhadap kerajaan dan mengembalikan era kegemilangan parti tersebut, katanya.

Bagi Pemuda MIC, usaha mempertingkatkan lebih ramai usahawan muda dalam kalangan kaum itu akan dipergiatkan lagi, kata ketuanya C Sivarraajh.

Beliau berkata parti itu tekad untuk melahirkan 1,000 usahawan muda dengan kerjasama Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) dan Tekun Nasional.

"Kami(Pemuda MIC) sedang giat menjalankan program itu dengan slogan 'Satu Rumah, Satu Usahawan'. Selain itu, kami turut merancang beberapa program seperti MIC Youth Job Fair 2016, Skill Training Fair and Campaign, Ekspo Perumahan Belia India 2016," katanya.

Parti yang pada 5 Dis 2014 diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengadakan pemilihan semula atau berhadapan risiko dibatalkan pendaftaran, kini tenang dan lebih fokus untuk melayari 2016.