Seramai 29 ahli Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mengisytiharkan keluar parti pada Ahad dan menyertai Barisan Nasional (BN) atas alasan hilang keyakinan pada parti.

Antara mereka, Zulkifli Yunus, 59 tahun, yang mengakui akan memberi sokongan kepada calon BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Katanya, dia yang mewakili 29 orang itu mengakui mereka meninggalkan Pas kerana yakin hanya BN sahaja yang mampu membela nasib rakyat.

"Saya sebelum ini sudah bersama Pas DUN Batu Kurau selama hampir 18 tahun, malah seluruh anggota keluarga saya merupakan pengikut setia Pas.

"Saya akui, kesedaran itu mulai wujud selepas melihat bagaimana Parlimen Larut dibangunkan di bawah kepimpinan calon BN, Datuk Seri Hamzah Zainudin," katanya.

Bagi Razali Silah, 75 tahun, beliau berkata banyak permohonan mereka tidak dapat dipenuhi oleh Pas, contohnya ketika kampung dilanda ribut.

"Rumah ranap, Pas hanya bantu ala kadar sahaja, tetapi pejabat Parlimen BN Larut yang menawarkan pelbagai bantuan kepada kami.

"Sejak dari itu, saya melihat corak kepimpinan Hamzah yang ikhlas membantu orang kampung tanpa mempersoalkan dari parti mana," katanya ketika sesi penyerahan borang ahli BN di Kampung Titi Kasai di sini, semalam.

Turut hadir, calon BN DUN Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Sementara itu, Hamzah berkata, langkah yang dibuat 29 bekas ahli Pas itu membuktikan hanya parti BN yang memperjuangkan nasib rakyat.

"Melihat kepada kecelaruan parti pembangkang untuk memilih pucuk kepimpinan, ia sudah cukup membuktikan mereka memang tidak pernah sepakat," tambahnya.