POLITIK
Ada pihak cuba gugurkan Bersatu melalui kutip tandatangan - Muhyiddin

Menurut Muhyiddin, barisan kepimpinan BERSATU hari ini dibentuk hasil rundingan dengan beberapa pemimpin kanan parti sebelum pemilihan parti lalu dengan tujuan memperkukuh kekuatan dalaman. - Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, semua ahli Bersatu perlu menghormati perlembagaan dan peraturan parti serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian dalaman.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian susulan dakwaan wujudnya gerakan mengutip tandatangan bagi menjatuhkan beliau, yang menurutnya bercanggah dengan perlembagaan parti.
“Kalau Presiden boleh dijatuhkan melalui kutipan tandatangan, maka semua pimpinan lain di atas pentas ini juga boleh dijatuhkan dengan cara yang sama. Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Srikandi Muda, Ketua Bersekutu dan semua ahli jawatankuasa bahagian turut berisiko menghadapi nasib serupa,” katanya dalam ucapannya malam ini.
Menurut Muhyiddin, barisan kepimpinan Bersatu hari ini dibentuk hasil rundingan dengan beberapa pemimpin kanan parti sebelum pemilihan parti lalu dengan tujuan memperkukuh kekuatan dalaman.“Apabila rumah sudah siap, janganlah pahat terus berbunyi. Kita mahu parti tertib, elok, rukun dan damai. Maka patuhilah perlembagaan parti,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Sebelum ini, Ketua Bersatu Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris mendedahkan mengenai penyebaran surat layang yang memburukkan Hamzah.
Menurutnya, surat layang itu tular melalui beberapa kumpulan WhatsApp Bersatu menggunakan nombor telefon tempatan dan juga dari Thailand.
Berdasarkan surat berkenaan, penulisnya menuduh Hamzah mempunyai agenda untuk menjatuhkan Muhyiddin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami