KOTA KINABALU: "Adakah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal gunakan logo sendiri pada pilihan raya akan datang?".

Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Pengerusi Kelab Penyokong GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan.

Beliau berkata, walaupun GRS masih belum didaftarkan, ia merupakan gabungan bersama yang diiktiraf rakyat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 lalu.

"Persoalan yang berbangkit, adakah mungkin selepas ini GRS boleh didaftarkan sebagai mana Gabungan Parti Sarawak (GPS)?

"Adakah mungkin di masa hadapan GRS akan menggunakan lambang sendiri untuk mengekalkan mandat pada PRN seterusnya?

"Ini merupakan persoalan menarik... namun segala pilihan bergantung kepada kita semua yang berada dalam satu pasukan untuk sentiasa memenuhi kehendak rakyat," katanya menerusi catatan di blognya, hari ini.

Terdahulu, dalam catatan blog beliau yang bertajuk 'Mandat GRS' itu, Salleh turut menyentuh kunci kerjasama GRS akan dilihat dalam pengagihan  kerusi Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Tambah beliau, apa yang penting sebagai wakil rakyat, semua pihak diingatkan supaya terus berkhidmat kepada rakyat tanpa menoleh ke belakang.

"Kita disajikan dengan pelbagai berita mengenai kemelut politik yang berlaku. Terbaru, UMNO selepas berakhirnya Perhimpunan Agung (UMNO 2020) telah memutuskan hubungan dengan Bersatu... namun, senario politik di Sabah berbeza dengan Semenanjung.

"PRN tahun lalu menyaksikan kemenangan berpihak kepada GRS dan ini adalah mandat dan amanah jutaan rakyat Sabah yang perlu dipertahankan.

"Selaras dengan kenyataan pemimpin negeri, saya menyokong kerjasama BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional) dan PBS di Sabah untuk terus kekal," katanya.