Skip to main content

Politik

Adly pertahan penolakan RUU, dakwa 7 ADUN lantikan boleh hakis demokrasi

51741623140_AdlyZahari.jpg
Adly berkata, cadangan melantik sehingga tujuh ADUN lantikan adalah terlalu ramai kerana mewakili kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 28 keanggotaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. - Gambar fail
Advertisement

MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mempertahankan pendirian lima ADUN gabungan itu yang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan pelantikan ADUN lantikan.

Menurut beliau, penolakan itu dibuat berasaskan tiga prinsip utama iaitu jumlah ADUN lantikan yang terlalu besar, implikasi terhadap demokrasi serta beban kewangan kepada kerajaan negeri.

Katanya, cadangan melantik sehingga tujuh ADUN lantikan adalah terlalu ramai kerana mewakili kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 28 keanggotaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Jadi memang saya secara peribadi saya maklumkan kepada Ketua Menteri di peringkat awal saya berjumpa dengan beliau... dari segi lantikan itu mungkin tiga itu agak reasonable.

“Tetapi kalau kita letakkan tujuh (ADUN lantikan) itu... dan kita pun tidak ada jaminan bahawa kerajaan negeri pada masa akan datang tidak menggunakan kuota itu (maksimum atau sebaliknya),” katanya.

Beliau ditemui pada hari ketiga Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Dewan Undangan Negeri, di Seri Negeri di Ayer Keroh, hari ini.

Mengulas lanjut jelasnya, jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding beberapa negeri lain seperti Sabah, Johor dan Pahang.

Selain itu, Adly berkata, pelantikan sehingga tujuh ADUN lantikan berpotensi menghakis suara rakyat kerana memberikan ruang yang terlalu besar kepada wakil yang tidak dipilih melalui pilihan raya.

Beliau turut membangkitkan soal implikasi kewangan apabila pelaksanaan kuota maksimum itu dianggarkan bakal menelan kos hampir RM1 juta, tidak termasuk perbelanjaan lain.

Adly turut melahirkan rasa kecewa kerana usul berkenaan dibawa secara unilateral walaupun terdapat parti dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak bersetuju dengannya.

Menurutnya, sekiranya tiada konsensus dicapai, usul berkenaan sepatutnya ditangguhkan sebagaimana amalan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Kita tahu kerajaan Barisan Nasional (BN) ada majoriti, tetapi sepatutnya di atas semangat perpaduan ia tidak dibawa dalam konteks unilateral bila ada parti-parti dalam kerajaan perpaduan itu tidak dapat menerima (usul).

“Konsep yang sama kita gunakan dalam kerajaan Malaysia pada hari ini kalau kita tidak dapat konsensus maka kita tangguhkan sesuatu usul,” tambahnya.

Beliau menegaskan pendirian lima ADUN PH bukan semata-mata isu politik, sebaliknya mengambil kira kepentingan rakyat, prinsip demokrasi serta kedudukan kewangan kerajaan negeri.

Semalam, PH Melaka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan RUU Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.

Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat ADUN DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan parti itu untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri Melaka bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

 

Must Watch Video

Advertisement