AYER KEROH:Pakatan Harapan Melaka menganggap Belanjawan 2021 negeri tu yang berjumlah RM445.86 juta yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis merupakan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ketua Pembangkang DUN Melaka, Adly Zahari, peruntukan itu tidak banyak menjurus kepada rakyat sebaliknya hanya memberi fokus kepada operasi tertentu yang tidak dijelaskan kerajaan negeri.

Untuk membuktikan hujahnya, Adly menyentuh tentang peruntukan Pejabat Ketua Menteri yang dinaikkan kepada RM5 juta berbanding RM3.15 juta ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri itu.

Malah kata beliau, peruntukan pengurusan juga meningkat sebanyak 74.68 peratus dan perkara itu tidak dijelaskan secara terperinci.

"Bagi kami (PH), Belanjawan ini tidak realistik kerana ia tidak akan mencapai sasarannya tetapi sebaliknya ia cuma satu bentuk perbelanjaan dan akhirnya Belanjawan itu menjadi defisit.

"Saya juga melihat ada yang tersirat pada Belanjawan ini iaitu ia dirancang dan dibuat bagi tujuan menghadapi Pilihan Raya akan datang.

"Kita boleh jangka kerana saya pun pernah berada di kedudukan Ketua Menteri dan kita boleh lihat daripada RM3 juta, ia naik ke RM5 juta, jadi dari situ kita boleh tahu itu adalah persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya," katanya pada sidang media selepas Persidangan Ketiga, Penggal Ketika Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka ke-14 pada Jumaat.

Adly juga menegaskan, PH kesal kerana peruntukan pembangunan pendidikan Islam turut dikurangkan sebanyak 22 peratus iaitu hanya RM11.4 juta pada tahun depan berbanding RM14.7 juta pada Belanjawan Melaka 2021.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali menafikan dakwaan berkenaan sebaliknya menegaskan limpahan ekonomi dalam Belanjawan negeri hanyalah untuk rakyat semata-mata.

Katanya, dakwaan bahawa ia merupakan persediaan menghadapi pilihan raya hanyalah pandangan peribadi pihak pembangkang dan terpulang kepada mereka untuk menterjemahkannya.