KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (Warisan) menafikan mengikut jejak ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yaacob meninggalkan parti itu.

Dua ADUN itu ialah ADUN Kukusan Rina Jainal dan ADUN Kunak Norazlinah Arif.

Dalam dua kenyataan berasingan, Rina menyangkal dan menafikan dakwaan beliau akan meninggalkan Warisan.

"Saya masih lagi bersama Warisan dan akan terus menjadi wakil rakyat di bawah payung Warisan.

"Malah dakwaan kononnya saya keluar parti disebabkan kecewa dengan perjuangan Presiden Warisan (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) yang semakin hilang arah juga adalah palsu dan bersifat fitnah," katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.

BACA: Yusof Yacob tamatkan spekulasi, umum keluar Warisan dan sokong kerajaan

Rina turut menjelaskan dakwaan berunsur fitnah itu dilihat bertujuan untuk melemahkan penyokongnya di kawasan Kukusan.

"Namun, saya tahu penyokong saya di Kukusan tidak akan mudah tertipu kerana hubungan rapat saya dengan akar umbi dan penduduk Kukusan," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Selain itu, Norazlinah pula berkata, beliau tidak akan mengkhianati mandat rakyat dan parti.

Katanya, setakat ini beliau masih kekal berjuang bersama pucuk pimpinan Warisan yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sekali gus memberikan fokus membantu rakyat selepas diberikan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Laporan portal online tersebut hanya bersifat finah serta berniat jahat terhadap saya…iaitu dengan sengaja membuat provokasi untuk keliru ahli Warisan serta pengundi khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya masih menjadi wakil rakyat di bawah payung Parti Warisan Sabah… dakwaan itu hanya berbentuk propaganda politik sahaja.

“Saya tetap memilih untuk membela rakyat sesuai dengan kapasiti pembangkang untuk terus menyuarakan hak rakyat dengan sebaik mungkin sekali gus membantu Presiden PWS memantapkan ahli di peringkat akar umbi, “ katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.


Keluar Parti | Akhirnya...Yusof tinggalkan Warisan