KOTA KINABALU: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat selepas pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dibuat dianggap tindakan yang tidak berpelembagaan walaupun Sabah belum lagi melaksanakan Akta Antilompat Parti.

Sehubungan itu Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto Padua Jr menggesa, kerajaan negeri segera meluluskan akta itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

"Pembentangan dan kelulusan akta itu di DUN Sabah pada November 2022 ditunda dan Hajiji boleh memanggil sidang khas bila-bila masa.

"Tindakan mereka ini bukan sahaja menjejaskan reputasi Sabah sebagai sebuah wilayah terkenal dengan budaya melompat parti tetapi juga mencemarkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan seolah-olah merestui tindakan itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Lorreto mendakwa kerajaan negeri seakan-akan sengaja melambat-lambatkan proses ini sedangkan pindaan terhadap Akta Antilompat parti telah diluluskan di peringkat Persekutuan.

Semalam, ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari meninggalkan Warisan dan menyatakan sokongan kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.

Awang Ahmad Sah merupakan ADUN Warisan keempat yang meninggalkan parti itu selepas tiga bekas wakil rakyat iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) yang membuat pengumuman awal bulan ini.

Untuk rekod, seramai 10 wakil rakyat Warisan meninggalkan parti itu sejak 2021.