Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin dari PKR dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Dr Afif Bahardin yang melepaskan jawatannya minggu lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan pelantikan Dr Norlela dalam sidang media di pejabatnya di Komtar jam 12.30 tengah hari Isnin.

Chow berkata, upacara angkat sumpah akan berlangsung di kediaman rasmi Yang Di-Pertua Negeri - Seri Mutiara pada hari Khamis ini jam 11 pagi.

"Adalah diputuskan bahawa YB Dr Norlela Ariffin iaitu ADUN kawasan Penanti dilantik menjawat jawatan berkenaan dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, majlis angkat sumpah jawatan akan berlangsung pada Khamis 12 Mac di Seri Mutiara, " kata Chow di sini hari ini.

Menurut Chow, lagi pihaknya menerima surat daripada PKR yang mengandungi hanya satu nama saja iaitu nama Dr Norlela.

Katanya, Dr Norlela akan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar.

Pelantikan Norlela itu menjadikan beliau wanita pertama daripada PKR yang dilantik menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di negeri itu.

Norlela menjadi wakil Rakyat Penanti selama dua penggal di Pulau Pinang.

Sementara itu, Norlela ketika di hubungi terkejut dengan pelantikan tersebut.

Beliau bagaimanapun berterima kasih diatas kepercayaan yang diberikan parti dan kerajaan negeri terhadap dirinya dan berjanji akan menjalankan amanah dengan sebaik mungkin.

Minggu lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan Afif meletak jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas Afif menyerahkan surat peletakkan jawatan kepada Kon Yeow sebelum Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang pada jam 8.15 pagi , 4 Mac lalu.

Bagaimanapun, Afif hanya meletak jawatan sebagai Exco dan masih ADUN Seberang Jaya berikutan beliau masih ahli PKR.